Pinjaman kepada prokerajaan 'dasar mundur'
Kerajaan mengamalkan 'dasar mundur' sekiranya menetapkan kriteria untuk memberikan pinjaman hanya kepada penyokong kerajaan. Timbalan Presiden Parti KeADILan Nasional, Dr. Chandra Muzaffar berkata, parti tidak boleh membelakangkan kepentingan pelajar apabila diminta mengulas kenyataan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Mohamed Nazri Abdul Aziz, berhubung isu itu.
Pada Rabu lalu, Nazri dilaporkan berkata, Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan mengutamakan pinjaman pendidikan dan perniagaan hanya kepada penyokong parti kerajaan.
"Dalam politik kita harus mengutamakan penyokong kita sebelum memberikannya kepada pihak lain," katanya seperti dilaporkan akhbar Berita Harian .
Sementara akhbar New Straits Times pula melaporkan Nazri berkata pinjaman akan diutamakan untuk mereka yang layak dan "bersimpati dengan Barisan Nasional."
Chandra berkata, dalam sistem demokrasi, menjadi hak pelajar untuk memilih atau menyokong mana-mana persatuan atau parti.
"Soal kepartian tidak boleh dijadikan ukuran untuk memberi biasiswa, tempat tinggal di kolej," katanya yang berpengalaman luas sebagai pensyarah di Universiti Sains Malaysia dan Universiti Malaya. .
Jika dasar itu dilaksanakan, pelajar yang berprestasi dan berbakat diketepikan hanya kerana perbezaan fahaman politik, jelasnya.
Tambah beliau, dasar mengutamakan penyokong kerajaan untuk pinjaman mencabuli prinsip-prinsip perlembagaan.
"Sebagai warganegara, kita boleh mencabar perkara ini di mahkamah," katanya lagi.
Apabila ditanya berhubung tindakan kerajaan PAS Terengganu mengambil langkah yang sama, Dr. Chandra menegaskan kerajaan negeri itu bertindak kerana pegawai berkenaan telah tamat tempoh perkhidmatan.
Nazri menyebutkan tindakan ini sebagai alasannya untuk mengambil sikap mengutamakan penyokong Barisan Nasional.
"Saya tidak menyokong PAS sekiranya mereka tidak memberikan biasiswa ataupun tempat tinggal kepada penyokong Umno di Terengganu," jelas Dr. Chandra.
Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Mohd Nazri Chik berkata, kenyataan menteri itu amat bertentangan dengan ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad yang ingin mendekati semula pelajar institusi pengajian tinggi.
Ditanya apakah kerajaan serius dalam ini, Mohd Nazri berkata kenyataan menteri itu masih di peringkat ucapan politik. "Jika dilaksanakan, saya tidak fikir pelajar akan bertambah rapat dengan parti-parti kerajaan," katanya.
Bagaimanapun, beliau mendakwa kerajaan-kerajaan Pahang dan Terengganu (ketika ditadbir oleh Umno) pernah menjalankan dasar seperti ini.

