Kerajaan akan melaksanakan sistem rasionalisasi subsidi diesel dan petrol yang melibatkan mekanisme baru untuk mencegah penyelewengan dan penyeludupan bahan api.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Alias Ahmad berkata mekanisme baru itu telah melalui proses penyediaan, lapor Utusan Malaysia.

Akhbar Umno itu juga melaporkan, rasionalisasi subsidi diesel akan dilaksanakan selewat-lewatnya pada Januari tahun depan manakala untuk petrol pula selewat-lewatnya April.

Alias dilaporkan sebagai berkata, pihaknya bekerjasama dengan Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan telah merangka penyediaan mekanisme sistem tersebut.

“Sebanyak 780,000 kenderaan menggunakan diesel akan terlibat dengan sistem rasionalisasi ini manakala pengguna petrol melibatkan 18 juta kenderaan,” katanya seperti yang dilaporkan Utusan .

KPDNKK juga dilapor melancarkan Ops Titik selepas pendedahan Utusan mengenai penyelewengan diesel bersubsidi yang menyebabkan kerugian beratus-ratus juta.

Sementara itu, Alias juga mengingatkan supaya para peniaga di seluruh negara tidak mengambil kesempatan terhadap cukai barangan dan perkhidmatan (GST) untuk kepentingan perniagaan mereka.

Belia berkata, sesetengah peniaga dilaporkan memberi gambaran negatif terhadap sistem berkenaan dengan tujuan memperdayakan pembeli.

“Ada yang menggunakan perkataan GST ini dalam promosi mereka dan mengadakan promosi jualan murah dengan menggambarkan seolah-olah selepas pelaksanaan GST, harga barang akan naik,” beliau dipetik sebagai berkata.