Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Australia sememangnya menjadi negara yang saya amat minati kerana landskapnya yang luas dan kerana ia negara yang merupakan sebuah benua secara tersendiri.

Dari sudut down under ini, kita pernah mendengar lagu yang dipopularkan Duran Duran, begitu juga lebih awal semasa saya di peringkat menengah rendah mendengar nama Olivia Newton John dari filem The Grease yang datang dari Australia.

Crocodile Dundee dan Steve Austin semuanya adalah nama-nama yang dikaitkan dengan Australia yang terkenal dengan nama “Land of Crocs”.

Kini saya berada di sebahagian kecil dari buminya yang bernama kota Melbourne.

Musim bunga

Musim bunga adalah musim yang menyegarkan, kena dengan keserabutan politik di Malaysia beberapa hari yang lalu.

Melbourne adalah tempat yang sesuai bagi saya untuk mendapat sedikit ketenangan.

Perancangan ke sini sudah dua bulan dirancang lebih awal bagi memenuhi undangan Malaysian Student’s Council of Australia, Victoria atau singkatannya MASCA.

Saya dihubungi oleh Ooi Ken Lin, pengarah Malaysian Inspiration Program dan bersetuju untuk hadir berkongsi pengalaman saya yang tidak seberapa ini.

Bersesuaian dengan musim bunga yang menyegarkan, tema yang diangkat juga segar iaitu “Living The Malaysian Dream”.

Saya teringat pada ambang pilihan raya umum ke-13 saya mengadakan roadshow ke seluruh negara dengan membawa tema “Impian Malaysia” untuk menghimpunkan suara pelbagai kaum dan pihak bagi menyatakan harapan mereka tentang masa depan negara.

Saya tidak menjangkakan kemudiannya perkataan “impian” atau “dream” menjadi tagline penting untuk beberapa pihak termasuk kelompok pelajar di sini.

Kemungkinan besar hasrat impian ini telah mencetuskan satu fenomena yang asasnya ialah kasih kepada negara ini dan benci kepada mereka yang cuba merosakkannya dengan agenda tersendiri.

‘Diculik’ ke Adelaide

Di sebelah Australia Selatan, pelajar Malaysia agak ramai juga menuntut di sana. Setelah mengetahui jadual saya ke sini, seorang sahabat, bekas pelajar Malaysia di Adelaide mahu memaksimumkan kehadiran saya.

Walaupun tempoh berada di Melbourne agak singkat, beliau mengharapkan saya ke Adelaide untuk bertemu pelajar di sana.

Sejurus sampai di Melbourne, saya terus menaiki pesawat ke Adelaide dan di sana saya disambut oleh seorang pelajar dalam satu program maraton kerana saya hanya akan berada sana satu malam sahaja.

Esok paginya saya mesti berada di Melbourne bagi menghadiri sidang kemuncak program yang dirancang awal itu.

Walaupun di Adelaide hanya sekadar satu malam, namun perbincangan dan diskusi dengan pelajar di sini sangat berbaloi dalam membawa misi politik rahmatan lil ‘alamin (rahmat seluruh alam).

Sidang kemuncak

Sesi sidang terbahagi kepada dua, iaitu sidang korporat dan perniagaan dan di sebelah petangnya ialah sidang dasar awam.

Saya tidak berkesempatan di siangnya namun sempat berjumpa dan berkenalan dengan para panelis daripada alam korporat semasa makan tengah hari.

Mereka yang dijemput ialah Azran Osman, CEO Air Asia X, Raj Kumar, naib presiden Global Consulting UCSI, Nazrin Hasan, CEO Cradle Fund dan Johan Mahmood Merican CEO dari Talent Corp Malaysia.

Mereka amat bertenaga dalam perbincangan semasa makan tenga hari kerana rata-rata mereka adalah tenaga muda dalam alam korporat yang memacu perniagaan di Malaysia.

Selain pelajar saya turut mendapat manfaat daripada perbincangan kami di meja makan sementara saya dan rakan panelis sesi petang mengambil alih pentas.

Pada permulaan sesi, saya menyatakan bahawa impian saya tidak akan tercapai sehingga saya mengimpikan terlebih dahulu apakah perkara yang saya tidak inginkan demi mencapai Malaysia yang diidamkan.

Bersama saya pada petangnya ialah Prof Datuk Dr Khalid Yusoff, presiden USCI University, Shahril Hamdan, exco Pemuda Umno dan Dr Harith Roslizar, presiden IKRAM Australia.

Saya meneruskan dengan mengatakan, “Saya impikan Malaysia tanpa prejudis, perkauman sempit dan ekstrimisme.”

Kemudian saya terus menghuraikan segala perkara dalam nilai yang disebutkan yang berpotensi merosakkan impian seluruh rakyat Malaysia.

Hampir kesemua panelis bersetuju bahawa melakukan perubahan dalam membawa impian ini bukan mudah kerana ia melibatkan soal kefahaman awam dan juga budaya yang terbenam dalam masyarakat.

Saya menambah lagi bahawa kebobrokan sistem dan kegagalan mereformasikan ruang demokrasi dan media telah memburukkan lagi keadaan.

Sesi soal jawab menjadi panjang berpandukan kepada topik yang diperbahaskan jarang dijadikan diskusi.

Budaya kopi Melbourne

Budaya minum kopi amat terkenal di Melbourne kerana saya dapat memerhatikan di sepanjang kaki lima kotanya warga Melbourne akan melepak di kedai-kedai kopi sambil bersantai.

Setelah selesai program saya bersama beberapa pelajar berjalan kaki menemani saya balik ke hotel dan dalam perjalanan kami singgah melakukan apa yang dilakukan oleh warga Melbourne, iaitu bersantai di kedai kopi.

Ia bukan seperti kedai mamak di Malaysia tetapi satu premis yang memaparkan pakej budaya minum kopi diperbuat dengan perakuan piawaian bancuhan kopi yang diiktiraf.

Tidak dinafikan aromanya dan rasanya membangkitkan keletihan saya sepanjang petang dan baki keletihan di Adelaide.

Kami bersembang dalam pelbagai topik sambil saya cuba menyelami pemikiran anak muda kepada isu besar negara.

Anak muda seperti mereka bukan lagi stereotaip, mereka mahu keluar dari daerah ‘old school’ dalam menilai sesuatu isu.

Malah telahan saya bahawa generasi muda agak muak dengan keruncingan politik kepartian dan isu yang tidak membina negara diperkukuhkan apabila saya mendengar luahan isi hati mereka.

Mereka bercakap tentang mahukan kebebasan membuat keputusan, media yang membuat liputan yang adil dan pemimpin yang membina negara bukan membina peribadi dan agenda masing-masing.

Saya memberikan perspektif saya dan kadang-kadang provokatif dalam melihat reaksi mereka lantas sambil menikmati aroma kopi dalam musim musim bunga.

Sekurang-kurangnya sembang santai itu saya berjaya menyelami luahan isi hati mereka tentang politik dan masa depan negara.

Makan malam

Untuk makan malam, Ooi Ken Lin dan Danial bersedia membawa saya bersama Farrah, Puteri dan beberapa pelajar lagi ke satu tempat yang popular di kalangan pelajar di sini.

Kali ini kami berjalan kaki pada waktu malam pula sambil bersembang dan sesekali berhenti di simpang menunggu giliran melintas.

Kami terserempak dengan sekumpulan pelajar Malaysia dan terus kami bersalaman malah sempat berfoto kenangan dan berselfie.

Salah seorang pelajar meminta saya tulis sesuatu di atas bookmark sambil tandatangan. Saya teruja sebahagian besar mereka membaca pemikiran saya melalui penulisan-penulisan saya yang berselerak di alam maya.

Malah ada yang bertanya kepada saya bila politik baru akan muncul?

Saya senyum sambil berkata, “andalah sebenarnya politik baru.”

Malaysia tidak memerlukan generasi saya untuk memacu politik baru tetapi anak-anak mudalah aktor utamanya.

Merekalah yang akan (sedang) mencorakkan masa depan Malaysia yang diimpikan.

Kumpulan kami ke restoran untuk makan malam menjadi ramai kerana sebahagian mereka mahu ikut untuk bersama makan malam.

Di Restoran Indonesia hampir kesemua kerusi dipenuhi oleh para pelajar Malaysia.

Saya bernasib baik kerana di kalangan mereka ada yang datang dari Utara dan Barat Australia.

Saya berseloroh dengan mereka, “Untunglah saya tak perlu merentas benua besar ini kerana semua bahagian Australia diwakili pada makan malam ini.”

Persiapan pulang

Pagi ini saya bersiap untuk keluar hotel dan kemudian akan ambil masa bersiar sebelum bertolak malam ini.

Saya menjangkakan untuk pergi ke tempat yang selalu para pengunjung pergi dengan panduan pelajar di sini.

Fikiran saya kini tertumpu kepada konferensi di Kuala Lumpur anjuran KOMAS yang akan saya hadiri sebagai pembentang esok 30 September 2014.

Penerbangan saya dijangka akan mendarat pukul 7.05 pagi waktu Malaysia 30 September dan sesi saya pada pukul 10 pagi.

Saya juga akan mempengerusikan sesi dialog dengan tetamu daripada Indonesia dan Filipina dalam kunjungan hormat kepada Majlis Konsultasi Perpaduan Negara pada 1 Oktober nanti.

Walaupun jadual saya ketat minggu ini tetapi saya mengharapkan sedikit kerehatan sebelum menyambut Aidiladha bersama isteri dan anak-anak, itu pun jika tiada kecemasan untuk saya hadir di mana-mana sepanjang masa itu.

Kepulangan saya pasti membawa kenangan di kota Melbourne yang segar dengan segala pengertiannya.


DR MUJAHID YUSOF RAWA ahli parlimen PAS bagi kawasan Parit Buntar.

Lihat Komen
ADS