Menteri persoal proses air kencing atlet 16 jam
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata pelaksanaan hukuman ke atas atlet wushu negara Tai Cheau Xuen kerana gagal ujian doping adalah pelik dan diragui.
Beliau mempersoal pengendalian sampel air kencing Tai yang mengambil masa selama 16 jam bermula di lokasi acara wushu dijalankan ke Doping Control Command Centre (DCCC) dan Institut Sains dan Teknologi Korea (KIST).
Menurutnya keraguan pada amalan rantaian simpanan (CoC) kerana sampel air kencing Tai dan empat atlet lain dibawa keluar pada jam 7.15 malam pada 20 September lalu dan hanya sampai pada jam 1.29 petang keesokan harinya.
Dalam kenyataannya, Khairy berasa sangsi dengan ketiadaan catatan tarikh rasmi pada sampel air kencing itu dan kronologi pengendaliannya
"Ini adalah sesuatu yang amat pelik dan menimbulkan kesangsian ke atas integriti CoC. Mengapa mengambil masa 16 jam?" soalnya dalam satu kenyataan petang ini.
"Jikapun kita mengambil kira masa dan jarak di antara venue, DCCC dan KIST, ia masih tidak masuk akal mengapa ia mengambil masa yang begitu lama.
"Jelas ia tidak disimpan di venue dan tidak juga dihantar ke KIST dengan segera. Sekiranya penganjur mengemukakan alasan ia disimpan di peti sejuk, tiada sebarang rekod yang menyatakan sedemikian," kata Khairy.
Menteri itu turut mengemukakan bantahan kepada panel displin Sukan Asia dan menyuarakan ketidakpuasan kepada badan OCA Antidoping berhubung pengendalian sampel itu.
"Lebih menimbulkan persoalan ialah dalam perjumpaan kedua dengan panel tersebut, mereka telah mengemukakan dokumen CoC berkenaan yang secara jelas telah dipinda, berbeza dengan butiran yang kita terima secara rasmi sebelum itu.
"Versi dokumen yang telah dipinda itu tidak pernah dikemukakan kepada pihak kontinjen negara dan ia adalah sesuatu yang di luar kelaziman, memandangkan kita berhak mendapat maklumat sepenuhnya tentang sampel berkenaan," katanya
Justeru beliau berkata Malaysia akan mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Ad Hoc Court of Arbitration in Sport-CAS di Incheon untuk ditimbang tara demi hak dan kepentingan atlet tersebut.

