Konsul Jeneral Malaysia di Chennai, India mengesahkan tiada laporan rakyat Malaysia termasuk pelajar yang cedera atau terjejas dengan

protes yang berlaku di negeri Tamil Nadu.

    

Menurut kenyataan Kementerian Luar, walaupun keadaan di Tamil Nadu secara am kembali normal dengan pengangkutan awam dan perniagaan

beroperasi seperti biasa, namun suasana masih kekal tegang dengan laporan protes berterusan di beberapa bahagian Chennai dan seluruh

negeri berkenaan.

    

"Kementerian menasihati semua rakyat Malaysia di Tamil Nadu agar lebih berhati-hati dan mengambil langkah perlu demi keselamatan mereka dan mengelak kawasan berlaku protes dan perhimpunan besar-besaran," katanya.

    

Kenyataan Wisma Putra berkata rakyat Malaysia yang mahu ke Tamil Nadu dinasihati untuk memaklumkan kehadiran mereka kepada konsul

jeneral Malaysia di Chennai.

    

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan boleh menghubungi konsul jeneral di talian +091-44-24334434/35/36 atau e-mel di

mwchennai@kln.gov.my.

    

Protes berlaku di negeri selatan India itu selepas ketua menteri wanitanya J. Jayalalithaa, 66, didapati bersalah dalam kes pemilikan

harta secara haram dan dihukum penjara empat tahun dan denda berat.

- Bernama