Kerajaan tidak mampu untuk mengecualikan banyak barangan daripada cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kerana jika berbuat demikian ia akan menghalangnya untuk mendapat pendapatan tambahan.

Pengarah eksekutif Pusat penyelidikan PAS,  Dzulkefly Ahmad berkata, itulah keadaannya walaupun ia akan lebih bermanfaat rakyat sekiranya lebih banyak barangan dapat ditambah pada senarai pegecualian GST.

Menurut Dzulkefly, adalah penting bagi kerajaan mewartakan senarai barangan yang dikecualikan daripada GST secepat mungkin, kerana ini akan menunjukkan golongan berpendapatan rendah benar-benar akan dilindungi.

Sama ada GST itu regresif atau pun tidak, bergantung kepada senarai akhir, kata Dzulkefly yang juga ahli jawatankuasa bajet Pakatan Rakyat dalam satu forum yang dianjurkan di MyHarakah bazar semalam.

Beliau juga mengeluh kerana sikap berdiam kerajaan tentang sama

ada bahan api, yang memberi kesan kepada sebahagian besar perbelanjaan pengguna, akan terjejas dengan GST.

Pengkritik berhujah bahawa GST tidak sesuai untuk Malaysia kerana ia adalah cukai regresif - cukai yang memberi lebih kesan kepada golongan berpendapatan rendah, berbanding yang pendapatan lebih tinggi.

Ini kerana GST adalah cukai kepenggunaan dan golongan miskin menggunakan bahagian yang lebih besar daripada pendapatan mereka berbanding dengan golongan yang berpendapatan lebih tinggi.

GST yang akan menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan, akan berkuat kuasa pada kadar 6 peratus pada 1 April 2015.

Kerajaan berhujah bahawa GST diperlukan untuk memperluaskan asas cukai Malaysia, memandangkan kebanyakan rakyat Malaysia tidak menjana pendapatan yang cukup untuk membayar cukai pendapatan.

Dzulkefly yang juga ahli jawatankuasa pusat PAS, bagaimanapun berhujah bahawa perlu ada pembaharuan cukai holistik yang merangkumi pengenalan cukai keuntungan modal, yang merupakan cukai ke atas keuntungan.

Beliau berkata, masih belum masanya untuk GST dilaksanakan kerana kebanyakan rakyat sama ada berpendapatan pertengahan atau lebih rendah.

Dengan Bajet 2015 akan diumumkan oleh perdana menteri, katanya, salah satu cabaran ialah sama ada kerajaan BN dapat melepaskan diri perangkap pendapatan sederhana.

Dzulkefly berkata bajet tersebut juga perlu mengambil langkah-langkah untuk berdepan dengan jangkaan kelembapan ekonomi China, salah satu rakan dagangan terbesar Malaysia.

Menurutnya, jika Amerika Syarikat membalikkan dasar pelonggaran kuantitatif (QE), maka akan berlaku penghijrahan dana, dan negara-negara seperti Malaysia akan terjejas.

Semua keadaan ini, tambahnya, meletakkan Malaysia dalam keadaan gelisah, dan ini seterusnya akan memberi kesan kepada pertumbuhan negara ini.

QE adalah dasar kewangan yang mengembang yang digunakan oleh kerajaan untuk merangsang ekonomi. Ia biasanya melibatkan bank pusat membeli sekuriti untuk menambah lebih banyak wang ke dalam pasaran.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan membentangkan Bajet 2015 pada 10 Oktober.

[Baca berita asal]