Tiada tindakan 'buat masa ini' terhadap wartawan Mkini
Kertas siasatan dakwaan kes hasutan terhadap wartawan Malaysiakini, Susan Loone masih belum dimuktamadkan.
Inspektor Mohd Rezan Yusoop @ Ariffin memberitahu Susan hari ini bahawa beliau tidak pasti bila siasatan itu akan selesai.
Mohd Rezan berkata laporan awal belum dikembalikan dan masih berada dengan Peguam Negara.
Beliau turut memulangkan telefon bimbit Blackberry milik Loone dan memberitahunya bahawa tiada tindakan lanjut buat masa ini.
Susan yang merupakan penolong editor wilayah utara Malaysiakini, ditahan pada 4 September di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948.
Beliau dibebaskan dengan jaminan polis RM2,000, dan seorang
penjamin, dan diberitahu untuk melaporkan diri hari ini.
Susan telah disoal siasat selama sembilan jam di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di Jalan Patani berhubung laporan temubualnya dengan Exco Pulau Pinang Phee Boon Pooh semasa dalam tahanan polis, yang dianggap berunsur hasutan dan memburukkan polis.
Phee, yang mengetuai unit peronda sukarela (PPS) di negeri itu, telah ditahan bersama dengan 154 anggota PPS selepas mereka mengambil bahagian dalam Perarakan sambutan hari Merdeka di negeri ini pada 31 Ogos.
PPS telah diisytiharkan "haram" oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar kerana ia tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan.

