Kartunis popular Zunar gembira dengan penghargaan dari dari kerajaan Amerika Syarikat yang menempatkan karyanya, 'Pirate of the Carry-BN' dalam koleksi Library of Congress.

Sikap berkenaan amat bertentangan dengan tindakan kerajaan Malaysia, yang menurutnya bukan sahaja tidak mengiktiraf, malah turut mengharamkan karyanya.

“Bagi saya, ini adalah satu bentuk penghargaan memandangkan kesemua buku-buku kartun saya tidak diiktiraf, malah diharamkan oleh kerajaan Malaysia.

"Buku 'Pirates of the Carry-BN' tidak terdapat di mana-mana perpustakaan di Malaysia kerana kekangan kerajaan.

"Ia juga tidak dapat dijual di mana-mana kedai di Malaysia atas sebab yang sama," katanya.

Katanya, naskhah berkenaan akan ditempatkan di seksyen seni grafik popular dan gunaan di perpustakaan tertua di AS itu bermula bulan ini.

“Buku 'Pirates of the Carry-BN' akan menjadi salah satu daripada lebih 120,000 buku kartun di perpustakaan itu,” katanya lagi dalam satu kenyataan.

Buku 'Pirates of the Carry-BN' menghimpunan 130 komiknya yang membicarakan pelbagai isu, termasuk masalah penipuan pilihan raya dan misteri kematian wanita Mongolia, Atlantuya Shaariibuu.

Karyanya sebelum ini, ‘Cartoon-O-Phobia', ‘1Funny Malaysia', ‘Perak Darul Kartun' dan ‘Isu Dalam Kartun' menjadi bahan siasatan polis mengikut Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984.

Beliau juga pernah ditahan atas tuduhan melanggar Akta Hasutan 1948.