Pemimpin muda terkenal PAS Nik Abduh Nik Aziz menegaskan terdapat gerakan untuk menjatuhkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan ia didakwa sebahagian konspirasi musuh Islam antarabangsa.

“Jika anda bertanya, adakah gerakan menjatuhkan TGHH (Hadi) dan memperlekeh Majlis Syura Ulama PAS adalah projek konspirasi musuh Islam antarabangsa?

“Saya jawab, ya,” kata anggota jawatankuasa pusat PAS dan anak kepada mursyidul am parti itu Datuk Nik Aziz Nik Mat itu.

Menulis di Facebook semalam, Nik Abduh berkata, tindakan PAS yang konsisten memperjuangkan agama di Malaysia bukan sahaja merimaskan BN tetapi juga musuh Islam antarabangsa.

Justeru, katanya, PAS mesti diserang dan dipinggirkan daripada menjadi “kekuatan utama” dalam Pakatan Rakyat.

“Ia mesti dilemahkan daripada dalam. Kekuatannya mesti diragut dan dibiarkan hidup dengan kekuatan baru yang bersedia menolak seruan ke arah syariat Islam,” tulisnya lagi.

Beliau juga menegaskan, kekuatan asal itu berpangkal dalam institusi Majlis Syura Ulama yang diketuai mursyidul am dan kepimpinan ulama diketuai Hadi.

Dalam tulisan berjudul “Islam Tanpa Syariat” itu juga, Nik Abduh mengingatkan terhadap ancaman Yahudi terhadap gerakan Islam yang istikamah menegakkan agama dan syariat Islam.

“Di sisi mereka, inilah musuh Yahudi yang akan mengancam survival mereka dan sekutu mereka,” tulisnya lagi.

Beliau membangkitkan situasi di perbagai negara umat Islam seperti di Mesir, Syria, Turki, Yaman dan Palestin yang didakwanya terdapat perancangan jahat musuh Islam.

“Begitulah perancangan jahat musuh Islam antarabangsa bagi menyekat kebangkitan Islam yang semakin diterima rakyat.

“Semuanya dilakukan sama ada secara perang memerangi pengganas atau lebih licik, menimbulkan fitnah ke atas gerakan Islam daripada dalam,” katanya.

Semua itu dilakukan, dakwanya lagi, bagi menukar laungan perjuangan menegakkan syariat Islam kepada “perjuangan Islam tanpa syariat”.