Seorang anggota parlimen DAP hari ini mencadangkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengupah pihak profesional untuk menguruskan masalah banjir kilat di ibu negara.

“Ekoran DBKL tidak tahu menahu, tidak berdaya dan tidak tahu bagaimana menyelesaikan isu banjir kilat, saya cadangkan sebuah tender terbuka disediakan bagi membenarkan pihak profesional mengambil alih,” kata Lim Lip Eng.

Dalam sidang media hari ini, wakil rakyat Segambut itu berkata, pihak profesional atau pakar pengairan mungkin mempunyai penyelesaian lebih baik.

Lim merujuk sebuah laporan bahawa Ketua Pengarah DBKL Datuk Mohd Amin Nordin Abdul Aziz berkata, pihaknya bermula daripada awal untuk menyelesaikan masalah itu.

Lim juga membangkitkan berhubung sistem amaran banjir RM120,000 di Kampung Kasipillay di ibu negara yang menurutnya disifatkan penduduk sebagai pembaziran wang pembayar cukai.

Katanya, sistem itu menjadi sia-sia apabila belon amaran banjir menjadi mangsa vandalisme dan dicuri beberapa bulan lalu dan DBKL didakwa gagal bertindak.

“DBKL patut mengeluarkan pagar kosong (yang menempatkan belon itu) dan tampil dengan penyelesaian jangka panjang,” katanya.

[Baca berita asal]