Pindaan Rang Undang-undang (RUU) Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang diedarkan kepada anggota Parlimen (MP) hari ini tidak mengandungi cadangan mewujudkan panel pelaburan.

MP Kelana Jaya Wong Chen berkata beliau yang hadir pada jam 9 pagi tadi mendapati salinan RUU tersebut sekali lagi dipinda mengeluarkan cadangan ke atas panel kontroversi tersebut.

"Kita menang, ini kejayaan yang patut dinikmati rakyat," kata beliau dalam laman Facebook nya pagi ini.

Wong sebelum ini menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengedarkan salinan pindaan RUU tersebut sebelum Dewan Rakyat bersidang pada hari ini.

Katanya, rang undang-undang itu jika diluluskan akan memberi kuasa kepada menteri kewangan menggunakan kutipan cukai tahunan sebanyak RM140 bilion sewenang-wenangnya.

Sebelum ini, Wong menyuarakan kebimbangannya bahawa LHDN bakal menjadi badan pelaburan seakan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) susulan cadangan meminda Akta LHDN 1995.

Menurutnya, pindaan ke atas Rang Undang-undang LHDN akan menubuhkan satu panel pelaburan yang membolehkan kerajaan membeli saham, bon, dan juga hartanah menggunakan hasil kutipan cukai.

Menurut Wong, beliau mengutuskan surat pada 5 September lalu kepada Najib selaku menteri kewangan untuk mendapatkan salinan pindaan tersebut.

Jelasnya, surat itu mengambil masa selama dua minggu untuk dipindahkan ke satu lagi jabatan lain dalam Kementerian Kewangan.