Zaid: Lupakan IS, lihat keganasan di samping kita
“Negara Islam Malaysia” mungkin lebih ganas berbanding kumpulan bersenjata Negara Islam (IS) di Iraq dan Syria, kata bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim.
Beliau justeru menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim melihat keganasan yang berlaku di tempat sendiri.
Zaid, bekas menteri undang-undang, mengulas kenyataan kedua-dua pihak ( kanan ) itu terhadap IS.
“Potong kepala orang mungkin tidak boleh diterima tetapi bukankah adil untuk bertanya bagaimana Malaysia berbeza?” kata beliau dalam blognya hari ini.
“Pemimpin IS kata, pihak yang tidak terima keputusan mereka sebagai mencabuli asas agama dan tindakan menghina agama, yang bermaksud tindakan mereka tidak berbeza dengan pemimpin agama di Malaysia.”
Zaid berkata, IS boleh berhujah bahawa undang-undang tuhan sempurna dan oleh itu tiada keperluan menggabungkannya dengan pengalaman dunia lain, moraliti atau sistem nilai yang menentukan pemakaian undang-undang ilahi.
“Pendirian mereka adalah betul seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan JAWI (Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan),” tambahnya.
Di Malaysia, katanya, jika kanak-kanak terbiar dijumpai dan tidak dituntut dalam tempoh beberapa minggu, fatwa menyebut bahawa ia dikira Muslim.
“Ini bermaksud bayi itu automatik tidak layak dijadikan anak angkat oleh keluarga bukan Islam. Lebih sukar jika orang Islam sendiri keberatan mengambil bayi yang dilahirkan luar nikah.
“Jadi ke mana bayi malang ini akan pergi? Bagi saya kelihatan seperti negara Islam Malaysia seperti ganas, jika tidak lebih pun sama seperti IS, yang tidak sedia membela integriti dan keselamatan seorang kanak-kanak,” katanya.

