552,000 gagal bayar balik pinjaman PTPTN
Lebih setengah juta peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak membayar pinjaman mereka sejak tabung itu diwujudkan pada Julai 1997.
Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata seramai 552,000 peminjam tidak membayar walau satu sen kepada PTPTN selepas menamatkan pengajian mereka.
"Kita kena berbuat sesuatu, lebih setengah juta tidak bayar satu sen sejak PTPTN ditubuhkan. LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) kena libatkan diri untuk pastikan PTPTN boleh bagi pinjaman untuk generasi akan datang.
"Kita harap 552,000 orang ini bertaubatlah ... kita wajib bayar hutang," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (Pindaan) 2014.
Bagaimanapun, Ahmad tidak menyebut jumlah pinjaman yang gagal dijelaskan oleh 552,000 peminjam.
Bagaimanapun, katanya jumlah kutipan bayaran balik sentiasa meningkat setiap tahun iaitu untuk 2011, PTPTN berjaya mengutip RM737 juta, 2012 (RM800.47 juta) dan 2013 (RM1.2 bilion).
Secara keseluruhan sehingga 31 Ogos lepas, RM5.36 bilion berjaya dikutip melibatkan 990,915 peminjam, kata Ahmad.
Mulai Jun 2011, LHDN mengutip semula pinjaman PTPTN melalui potongan gaji.
- Bernama
-

