PUM bantah kehadiran tokoh Islam liberal
Persatuan Ulama Malaysia (PUM) membantah keras kehadiran tokoh Islam Liberal Indonesia Ulil Abshar Abdalla dalam sebuah diskusi meja bulat anjuran Islamic Renaissance Front dan Global Movement of Moderates Foundation pada 18 Oktober ini.
Setiausaha Agung PUM Mohd Roslan Mohd Nor berkata kehadiran Ulil sebagai tetamu utama dalam diskusi yang bertajuk "Tantangan Fundementalisma Agama Abad Ini" dianggap "tidak sesuai dan kelihatan mencabar autoriti Islam" di negara ini.
Dalam kenyataannya semalam, Mohd Roslan turut mendakwa Ulil terlalu banyak mempersoalkan nas agama yang bersifat qat'i (putus) dan merendah-rendahkan hal ehwal agama Islam.
"Perkara ini sinonim dengan organisasi beliau iaitu Jaringan Islam Liberal (JIL) di mana fahaman ini telah diharamkan di Indonesia dan juga negara kita Malaysia.
"Justeru PUM meminta supaya Jakim dan pihak berautoriti supaya dapat mengambil tindakan sewajarnya agar idea-idea Islam Liberal yang telah diharamkan di Malaysia tidak dikembangkan secara halus," katanya.
Diskusi meja bulat itu dijadual berlangsung di pejabat Global Movement of Moderation Foundation di Bukit Damansara pada jam 11 pagi.
Ulil ialah pengasas JIL yang pernah menuntut di Universiti Havard menyatakan penubuhan kumpulan itu antara lain bertujuan mengkritik kumpulan konservatif agama dan pelakuan kekerasan atas nama agama.

