'Mereka kaya raya kerana berada di M'sia'
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata hartawan yang kini mengungguli syarikat besar negara, hanya kaya raya kerana mereka berada di Malaysia yang "mempunyai ruang cari makan yang besar."
"Mereka semua kaya kerana berada di Malaysia. Kalau bukan di Malaysia walaupun lulusan tinggi, tak semestinya kaya," kata beliau dalam sidang media di Parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas ucapan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam yang meminta kerajaan mendedahkan jumlah cukai yang dibayar 20 hartawan dan taikun perniagaan terkenal negara.
Bagaimanapun Shahidan yang juga MP Arau menyatakan maklumat cukai tersebut terletak di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).
Beliau berkata, keadaan Malaysia yang aman dan makmur menjadi sebab ramai orang mencari kekayaan dan mencuba nasib di sini.
Beliau memberi contoh taikun pembangunan Tan Sri Lim Goh Tong yang berusaha dengan tulang empat kerat serta menjadi bukti sesiapa saja boleh mencari makan di Malaysia.
"Kita negeri aman damai yang boleh beri ruang pekerjaan dan ruang jadi kaya. Malaysia tumpuan dunia.
"Dulu kita tak sangka orang Afrika datang ke sini, sekarang orang Afrika datang ke sini dan belajar makan nasi," kata beliau berseloroh.

