Dr M kait 'tahaluf siyasi', kejatuhan Andalusia
Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meneruskan kritikannya ke atas tahaluf siyasi PAS bersama pihak bukan Islam dengan membangkitkan mengenai pengalaman kerjasama orang Islam di Andalusia.
Walau tidak menyebut mana-mana parti secara khusus, tulisannya di blog chedet.cc itu dipercayai merujuk kepada DAP yang turut dibangkitkannya dalam tulisan semalam, juga berhubung tahaluf siyasi.
Dalam tulisan hari ini, Mahathir berkata, kumpulan orang Islam bawah pimpinan Tariq Ziya menewaskan tentera Sepanyol dan Portugis dan berjaya memerintah wilayah tersebut selama 800 tahun.
Namun, masyarakat orang Islam kemudiannya berpecah-belah dan berperang di antara satu sama lain, katanya.
“Dalam peperangan antara negeri-negeri Islam ini, ada yang meminta pertolongan orang Kristian Sepanyol yang memiliki tentera yang kuat.
“Pihak yang bersubahat dengan Sepanyol dapat menewaskan musuh Islam mereka. Tetapi pihak Sepanyol merebut pemerintahan wilayah yang ditawan.
“Negeri Islam yang mendapat pertolongan Sepanyol tidak dapat membuat apa-apa kerana mereka lemah.
“Dengan cara membantu pemerintah wilayah Islam yang bermusuh sesama mereka, akhirnya Sepanyol dapat merampas balik seluruh Semenanjung,” kata Mahathir.
Dengan kekalahan pasukan Islam, orang Islam dan Yahudi kemudiannya diberi pilihan sama ada kembali ke Afrika Utara, memeluk agama Kristian atau dibunuh, tambahnya.
“Inilah hasil 'tahaluf siyasi' orang Islam dengan orang yang lebih kuat dari mereka.
“Apakah ada pelajaran yang boleh didapati dari sejarah Islam di Semenanjung Sepanyol?,” katanya.

