ISMA, Umno tampil tolak tokoh Islam Liberal
Pemimpin Umno dan NGO Melayu Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) hari ini tampil menyatakan bantahan mereka terhadap kemasukan tokoh Islam Liberal Indonesia Ulil Abshar Abdalla minggu depan.
Presiden ISMA Abdullah Zaik Abd Rahman menggesa umat Islam menolak “fahaman asing” yang didakwanya mempromosi atheisme, kekufuran, dan sistem hidup antiagama.
"Mereka cuba mengambil kesempatan atas 'kelemahan-kelemahan’ yang berlaku dalam pengalaman hidup masyarakat Islam sebagai cara untuk mempertikai Islam.
“Sebab itu, fahaman asing seperti liberal ini perlu ditentang dengan tegas," katanya seperti dilapor dalam laman web NGO itu.
Ulil Abshar ( kanan ) dijadual hadir ke diskusi meja bulat bertajuk “Tentangan Fundamentalisme Agama di Abad ini” anjuran NGO Islamic Renaissance Front (IRF) pada 18 Oktober ini di ibu negara.
Ia sebelum ini dijadual dibuat di Global Movement of Moderates (GMM) di Bukit Damansara tetapi ditukar selepas ketua pengarah eksekutif Datuk Saifuddin Abdullah menafikan menjadi penganjur bersama.
Saifuddin, bekas timbalan menteri menjelaskan berlaku salah faham apabila IRF mahu menggunakan kemudahan bilik persidangan di pejabatnya sedangkan terdapat bengkel lain pada waktu itu.
Abdullah Zaik mendakwa sekularisme yang menjadi asas fahaman liberal yang menurutnya akan mengubah kefahaman Islam dan memperkenalkan agama baru yang bertentangan dengan ajaran Nabi Muhamad.
“Mereka hanya menyembah tuhan yang mereka cipta dan tunduk kepada idea logik (rasionalisme) mereka sahaja walaupun mereka masih menggunakan nama atau istilah yang sama,” beliau dipetik sebagai berkata.
Puad dakwa Ulil sokong LGBT
Sementara itu, Utusan Malaysia hari ini ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Puad Zarkashi pula menegaskan diskusi yang menampilkan Ulil Abshar tidak wajar diadakan kerana dikhuatiri menggugat persoalan akidah.
Akhbar itu menyebut, Puad mendakwa Ulil Abshar “tokoh liberal melampau”, menyokong golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dan ajaran Ahmadiah yang difatwakan sesat di Indonesia dan Malaysia.
"Malah Ulil Ashar juga pernah menyifatkan kejadian mukjizat Nabi Musa membelah laut sebagaimana diceritakan dalam Al-Quran sebagai dongeng.
"Sedangkan al-Quran itu wahyu Allah yang wajib dipercayai. Apakah tokoh sebegini yang GMM mahu perkenalkan kepada rakyat Malaysia khususnya anak muda.
"Kalaupun hendak meraih populariti dalam kalangan anak muda dan mahu memperkenalkan konsep politik baharu, bukan begini caranya. Jangan kita membuka pintu-pintu kepada orang yang mahu menggugat persoalan akidah," katanya dipetik.

