Peruntukan RM56b untuk kementerian pendidikan
Kerajaan memperuntukkan RM56 bilion kepada Kementerian Pendidikan untuk membiayai pelbagai program pengajaran dan pembelajaran pada tahun hadapan.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan sektor pendidikan negara akan terus diperkukuh selaras Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 dengam penekanan kepada pemantapan sekolah yang memerlukan bimbingan dan bantuan khusus.
Beliau berkata ia merangkumi peruntukan sebanyak RM1.2 bilion untuk Program Transformasi Vokasional dan Teknik (TEVT) untuk meningkatkan pengambilan pelajar memandangkan permohonan diterima jauh mengatasi kemampuan yang boleh disediakan, lapor Bernama.
"Sebagai langkah untuk membuka lebih peluang bagi bidang ini, kerajaan bersetuju meluluskan RM100 juta dengan serta-merta kepada Kementerian Pendidikan untuk menempatkan 10,000 pelajar di kolej-kolej teknikal dan vokasional swasta.
"Di samping itu, RM50 juta juga diperuntukkan kepada Mara bagi pelaksanaan Program TEVT," katanya ketika membentangkan Bajet 2015 bDewan Rakyat hari ini .
Dalam aspek keselamatan dan persekitaran pembelajaran pula, kerajaan akan menyediakan RM800 juta untuk tujuan itu, dengan pecahan seperti berikut:
* Sekolah Kebangsaan - RM450 juta.
* Sekolah Jenis Kebangsaan Cina - RM50 juta
* Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil - RM50 juta.
* Sekolah Mubaligh - RM50 juta.
* Sekolah Berasrama Penuh - RM50 juta.
* Sekolah Agama Bantuan Kerajaan - RM50 juta.
* MRSM - RM50 juta.
* Sekolah Pondok yang berdaftar - RM25 juta; dan
* Sekolah Menengah Kebangsaan Cina atau comforming school yang mengguna pakai kurikulum kebangsaan diperuntukan RM25 juta.
Kerajaan juga mengumumkan pembayaran kos bil elektrik dan air kepada semua sekolah jenis kebangsaan di bawah Kementerian Pendidikan dapat dibayar sepenuhnya.

