'Peminjam PTPTN disenaraihitam, kroni BN bagaimana?
MP Pandan menggesa Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menjelaskan mengapa peminjam yang gagal membayar hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) wajar disenaraihitam melalui pelaksanaan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS).
Sebaliknya Rafizi Ramli mempersoal Khairy mengapa individu atau syarikat yang didakwanya ada kaitan BN tidak dikenakan tindakan sedemikian untuk membayar hutang atau pampasan melalui sistem itu.
"Khairy Jamaluddin perlu menjawab kepada golongan muda kenapakah Umno/BN tidak menggunakan pendekatan menyenarai hitam dan langkah-langkah yang kasar begini terhadap kroni dan niagawan yang hutang mereka kepada kerajaan jauh lebih tinggi dari jumlah hutang tertunggak yang mahu dikutip melalui CCRIS ini?" soal Rafizi.
Naib presiden PKR itu mengulas pendirian terbaru menteri belia dan sukan yang menyokong supaya nama peminjam ingkar PTPTN disenaraihitamkan melalui pelaksanaan sistem itu tahun depan.
Dalam kenyataannya, naib presiden PKR itu percaya rakyat marah dengan tindakan kerajaan melalui PTPTN mengutip hutang berjumlah beberapa ribu ringgit dari mereka.
"Sedangkan tindakan sebegitu tidak pula dikenakan kepada peminjam-peminjam besar dari kalangan kroni yang nilainya berkali-kali ganda lebih besar dari jumlah peminjam PTPTN ini," katanya lagi.
Sehubungan itu, Rafizi menyeru Khairy kekal menentang tindakan menyenaraihitam oleh PTPTN dengan pelaksanaan CCRIS memandang ada cara yang lebih berhemah.
Antaranya menyarankan PTPTN menetapkan kriteria pendapatan boleh belanja dengan mengasingkan peminjam tegar yang mampu membayar tetapi enggan membayar dan peminjam yang memang tidak mampu.
Selain itu, Rafizi mengesyorkan perbadanan itu menghubungi peminjam selepas pengasingan dibuat dan merundingkan jadual bayaran mereka.
"Sekiranya mereka enggan juga membayar, PTPTN bolehlah mengiklankan nama-nama mereka sebagai penghutang tegar di dalam akhbar-akhbar dan media harian sebagai cara untuk mendesak mereka membayar.
"Cara ini sudah pun digunakan oleh badan-badan biasiswa seperti PETRONAS, Mara dan lain-lain untuk mengutip hutang pendidikan," katanya.

