K'jaan perkenal IAP, RM150j dana permulaan
Kerajaan akan memperkenalkan akaun pelaburan patuh Syariah, dikenali sebagai Platform Akaun Pelaburan (IAP) tahun depan dengan dana permulaan sebanyak RM150 juta, kata Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Tun Razak.
Ia bertujuan memberikan peluang kepada pelabur dalam pembiayaan aktiviti keusahawanan dan pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berdaya maju.
"IAP akan menarik pelabur institusi dan individu kaya dalam pasaran kewangan Islam," kata Najib semasa pembentangan Bajet 2015 yang bertemakan 'Ekonomi Keperluan Rakyat' di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata, bagi menggalakkan pelaburan dalam IAP, kerajaan mencadangkan pelabur individu diberi pengecualian cukai pendapatan ke atas keuntungan daripada pelaburan yang layak selama tiga tahun berturut-turut.
Sementara itu, bagi tujuan merancakkan terbitan dan urus niaga pasaran sukuk dan bon tempatan pula, kerajaan telah memperkenalkan produk Bon dan Sukuk Dagangan Bursa atau ETBS pada Januari 2013.
"Makanya, kerajaan mencadangkan supaya Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Terbitan Pelaburan Kerajaan turut disenaraikan dan diurus niaga dalam ETBS.
"Selain itu, perbelanjaan menerbitkan sukuk telah diberi potongan cukai mulai tahun taksiran 2003 hingga tahun taksiran 2015 dan selaras ini, dicadangkan potongan cukai bagi perbelanjaan menerbitkan sukuk berasaskan prinsip ijarah dan wakalah dilanjutkan selama tiga tahun lagi sehingga tahun taksiran 2018," kata beliau.
Najib yang juga menteri kewangan berkata industri kewangan Islam Malaysia kini mencakupi 25 peratus daripada industri perbankan dari segi aset dan di peringkat antarabangsa pula ia kekal sebagai pasaran sukuk terbesar di dunia, merangkumi 60 peratus daripada pasaran sukuk global.
- Bernama

