mk-logo
Berita
Had layak pinjaman rumah penjawat awam dinaikkan
Diterbitkan:  Oct 10, 2014 10:44 AM
Dikemaskini: 11:31 AM

Prihatin terhadap kesukaran penjawat awam untuk mendapat pembiayaan memiliki rumah, kerajaan bersetuju agar had kelayakan minimum pinjaman perumahan dinaikkan daripada RM80,000 kepada RM120,000.

    

Sementara had kelayakan maksimum dinaikkan daripada RM450,000 kepada RM600,000, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

    

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata wang pemprosesan permohonan pinjaman perumahan sebanyak RM100 pula dimansuhkan.

    

"Kedua-dua cadangan ini berkuat kuasa pada 1 Jan 2015," katanya ketika membentangkan Bajet 2015 di Dewan Rakyat di sini hari ini.

    

Perdana Menteri berkata kerajaan juga komited untuk terus meningkatkan pembinaan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) dan pada masa ini, sebanyak 10,639 unit rumah telah diluluskan untuk pembinaan projek berkenaan.

    

"Pada 2015, bagi membolehkan lebih ramai penjawat awam memiliki rumah, kerajaan bersetuju untuk membina 5,380 unit rumah lagi iaitu di Putrajaya sebanyak 1,600 unit, Bukit Jalil (1,530); Papar, Sabah (1,290) dan Bukit Pinang, Kedah (960)," katanya.

Di samping itu, Najib berkata kerajaan juga menambah baik PPA1M seperti menurunkan harga minimum rumah berkenaan yang kini berharga RM150,000 kepada RM90,000 seunit dengan keluasan lantai minimum 850 kaki persegi.

    

Selain itu, kerajaan turut menaikkan syarat kelayakan pendapatan isi rumah daripada RM8,000 kepada RM10,000 serta menyediakan dana mudah cara sehingga 25 peratus daripada kos projek kepada pemaju yang menyertai skim PPA1M.

    

Perdana Menteri berkata kerajaan juga menyediakan RM500 juta untuk membaik pulih dan menyelenggara secara berperingkat kuarters tentera, polis, guru dan petugas kesihatan di seluruh negara.

    

Beliau berkata sebanyak RM105 juta pula diperuntukkan kepada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk penyelenggaraan kuarters kerajaan di bawah program My Beautiful Malaysia yang melibatkan 126 lokasi.

    

"Keadaan rumah yang baik dan selesa didiami akan meningkatkan produktiviti penjawat awam," katanya.

    

-Bernama

Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS