Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) hari ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa agensi itu telah meluluskan pendaftaran Persatuan Melayu Murtad, Majlis Forum Antarabangsa (IFC) dan Persatuan Melayu Kristian.

    

Ketua Pengarahnya, Mohammad Razin Abdullah berkata penyebaran berita palsu mengenai dakwaan ROS meluluskan pendaftaran ketiga-tiga pertubuhan itu sudah dikesan sejak 2007.

    

"ROS dengan ini menafikan sekeras-kerasnya bahawa pendaftaran ketiga-tiga pertubuhan terbabit diluluskan oleh ROS.

    

"Penyebaran berita ini telah lama dikesan, iaitu sejak seawal tahun 2007 lagi dan sering disebarkan dari semasa ke semasa," katanya dalam satu kenyataan.

    

Semalam, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha turut menafikan ketiga-tiga pertubuhan itu telah berdaftar setelah semakan dibuat dengan ROS dan Kementerian Dalam Negeri.

    

ehubungan itu, Mohammad Razin meminta masyarakat supaya tidak terpedaya dengan dakwaan itu dan berhenti daripada menyebarkan berita palsu tersebut.

- Bernama