Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri menyelar kembali pihak yang melancarkan kritikan ke atasnya atas kenyataan mempertahankan seruan PERKASA untuk membakar naskhah Bible berhasa Melayu.

"Saya tidak pernah kata begikut. Anda harus semak fakta sebelum buat kenyataan,” katanya dalam tulisan di Twitter.

Beliau berkata demikian bagi menjawab kenyataan bekas timbalan menteri Datuk Saifuddin Abdullah dan ketua Pemuda GERAKAN, Tan Keng Liang.

"Saya tidak percaya seorang menteri boleh mendakwa bahawa tiada salahnya mengancam untuk membakar Bible dengan kalimah 'Allah', kerana ia hanya untuk mempertahankan Islam,” kata Tan.

Saifuddin pula berkata kerajaan tidak harus menggunakan alasan mempertahankan Islam dalam menjelaskan keputusan untuk tidak mengambil tindakan ke atas Ibrahim.

Dalam jawapannya, Nancy berkata, "Sebelum membuat ulasan, lebih baik anda memeriksa fakta terlebih dahulu.”

Saifuddin seterusnya menjawab: “Nombor satu, saya baca teks (jawapan parlimen). Nombor dua, saya dimaklumkan oleh wartawan kanan yang bercakap dengan anda dan nombor tiga, saya baca kenyataan penuh anda”.

Jawapan parlimen Nancy pada hari Rabu menyebut, tiada tindakan pendakwaan akan diambil terhadap Ibrahim  berhubung ancamannya untuk membakar Bible bahasa Melayu kerana beliau "hanya mempertahankan kesucian agama Islam http://www.malaysiakini.com/news/276977

Susulan kontroversi yang tercetus selepas jawapan berkenaan, pejabatnya mengeluarkan satu lagi kenyataan bagi menjelaskan bahawa kenyataannya disalah tafsir kerana hanya sebahagian daripadanya dipetik.

Menurut kenyataan itu lagi, alasan tersebut dikemukakan oleh Pejabat Peguam Negara, yang bertanggungjawab memutuskan pendakwaan ke atas apa-apa kes.

Ibrahim pada awal tahun lalu mengancam untuk membakar naskhah Bible yang menggunakan kalimah 'Allah', yang didakwa boleh mengelirukan orang Islam.

Walau menerima kritikan keras, kerajaan tidak bertindak ke atas Ibrahim, malah seorang menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan turut memberi alasan bahawa bekas MP tersebut hanya mencadangkan untuk memusnahkan Bible yang mengandungi kesalahan cetakan.