Pertubuhan Peniaga Tekstil dan Barang-barang Am India Malaysia (Mita) menyifatkan harga 'khemah Deepavali' yang dijual Majlis Perbandaran Klang (MPK) kepada peniaga terlalu mahal.

Setiausaha Mita Maheswary Ramasamy berkata ramai peniaga Deepavali di Little India Klang mengadu bahawa harga kanopi berlipat RM250 yang dijual MPK adalah berkualiti rendah dan mudah roboh.

"Ini akan menjejaskan perniagaan mereka, yang sebelum ini laris pada musim perayaan.

"MPK boleh menyediakan khemah untuk disewa dan bukannya memaksa peniaga membeli kanopi itu pada harga yang tinggi kerana ia tidak tahan lama.

"Ia adalah tidak berbaloi memandangkan kanopi itu hanya digunakan peniaga untuk tempoh dua minggu sehingga menjelang Deepavali yang disambut pada 22 Okt," katanya kepada Bernama di Klang.

Maheswary berkata pada musim perayaan sebelum ini, 160 peniaga di Little India, Klang mempunyai pilihan untuk menyewa khemah berkualiti daripada pembekal tempatan.

Katanya kanopi berlipat bersaiz 3m x 3m adalah terlalu rendah selain menjadi penghalang kepada peniaga untuk meletakkan platform kayu di atas tanah untuk melindungi barangan mereka terutama jika berlaku banjir di Jalan Pulasan di Klang.

"Pekedai tiada pilihan terpaksa membeli khemah itu bagi menghindar peniaga lain mengambil lot gerai di hadapan kedai mereka.  

"Dengan kanopi berharga RM250, peniaga perlu mengeluarkan kos sebanyak RM1,070 bagi setiap lot gerai selain membayar RM140 untuk menjalankan perniagaan di tapak gerai masing-masing selama dua minggu," katanya.    

Beliau juga mencadangkan kadar RM300 yang dikenakan MPK bagi setiap peniaga Deepavali untuk kerja-kerja pembersihan di Little India Klang dikurangkan kepada RM100.

"Kita mempunyai 160 gerai di Little India Klang dan adalah tidak logik bagi MPK untuk membelanjakan RM48,000 (RM300 x 160 gerai) hanya untuk membersihkan Little India selepas selesai musim perayaan," katanya.

Maheswary berkata beliau telah menulis kepada Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali memohon pihak berkuasa agar tidak menutup Jalan Tengku Kelana semasa musim perayaan Deepavali bagi kemudahan pembeli-belah.

Sementara itu, MPK dalam kenyataan menegaskan kanopi gred B berharga RM250 itu mempunyai kualiti yang baik dan harganya berpatutan dan sekali gus menyelesaikan aduan peniaga untuk menggunakan kanopi yang seragam dan standard.

- Bernama