Tambahan peruntukan untuk masyarakat Orang Asli dalam Bajet 2015 membolehkan lebih banyak projek pembangunan ekonomi, kemudahanan infrastruktur dan penambahbaikan taraf hidup Orang Asli dapat dilakukan pada tahun depan.

Anggota Dewan Negara Orang Asli Senator Datuk Mohamad Olian Abdullah berkata, peruntukan RM352 juta yang merupakan lebih besar jumlahnya berbanding sebelum ini membuktikan bahawa kerajaan amat komited dalam membela dan membangunkan masyarakat pribumi itu.

"Masyarakat Orang Asli amat gembira dan berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana meluluskan peruntukan yang lebih besar tahun ini yang dapat digunakan untuk menaikkan lagi taraf hidup Orang Asli di negara ini," katanya kepada Bernama di Bera hari ini.

Sementara itu Batin Orang Asli Kampung Chuat, Bera Piji Awang, 54 berkata, Orang Asli perlu diberikan pembelaan kerana mereka merupakan kaum minoriti yang tanpa jemu menyokong kerajaan sejak dulu hingga kini.

"Kami akan terus menyokong dan bersama kerajaan untuk menjayakan agenda  pembangunan negara," katanya.

Manakala Batin Ibrahim Busu, 58 dari perkampungan Asli Sungai Tuang pula berkata, Orang Asli bukan sahaja bersyukur tetapi juga berbangga apabila kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri prihatin membela nasib mereka di luar bandar dan pedalaman.

"Peruntukan sebanyak itu akan menguatkan lagi semangat Orang Asli menyokong kerajaan Barisan Nasional untuk terus mentadbir negara," katanya.

Batin Johari Salam, 55 dari perkampungan Orang Asli Bukit Gemuruh pula berharap peruntukan itu akan dapat digunakan untuk melakukan lebih banyak perubahan kepada Orang Asli terutamanya dalam aspek ekonomi, pertanian dan pendidikan.

"Layanan yang diberikan kerajaan amat kita hargai dan ini juga membuktikan bahawa setiap rakyat di negara ini tidak akan dipinggirkan tidak kira kaum, bangsa dan agama," katanya.

Beliau memberitahu, 200 penduduk Orang Asli Bukit Gemuruh juga akan mengadakan satu kenduri kampung sebagai tanda bersyukur dan berterima kepada kerajaan dalam soal itu.

- Bernama