Terpaksa berjauhan dengan keluarga ditambah pula keadaan fizikal yang kurang sempurna, tidak mematahkan semangat wanita muda dari negara jiran ini untuk menamatkan pengajian peringkat Sarjana di negara ini.

Norsuria Jani, 28, dari Singapura merupakan penghidap Spina Bifida sejak lahir, namun bertuah kerana beliau mampu berjalan walaupun mengalami kepayahan.

"Saya rasa bertuah kerana penyakit yang saya hidapi ini (Spina Bifida) kebanyakkan pesakitnya tidak mampu untuk berjalan, namun saya dikategorikan sebagai bernasib baik kerana boleh berjalan walaupun terpaksa menggunakan tongkat.

"Saya juga kena pakai kasut sebelah tinggi bagi menampung kestabilan ketika berjalan. Kadang-kadang apabila terjatuh, rakan-rakan sekuliah akan membantu saya," katanya kepada Bernama selepas menerima skrol Sarjana Sains (Kewangan dan Perbankan Islam) sempena Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ke-30 di Kuala Lumpur, semalam.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang juga Menteri Mentor UIAM menyampaikan skrol pada sidang kedua istiadat majlis konvokesyen itu.

Menurut portal MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Spina Bifida dalam bahasa Latin bermaksud tulang belakang terbelah dan merupakan satu daripada kecacatan sejak lahir.

"Ia juga dikenali sebagai kecacatan di tiub neutral dengan sebahagian atau keseluruhan tulang belakang tidak bercantum dengan sempurna, menyebabkan saraf tunjang terdedah," menurut portal itu.

Ketika di peringkat sarjana muda di universiti sama, Norsuria yang merupakan anak sulung daripada lima beradik mengambil bidang pengajian perundangan dan seterusnya bidang syariah sebelum melanjutkan pengajian di peringkat sarjana.

"Pengalaman manis banyak...antaranya semasa saya mengambil pengajian sarjana , saya juga merupakan tutor yang mengajar pelajar prauniversiti. Mereka tidak memandang kelemahan diri saya, malah mereka menghargai serta menerima saya," katanya.

Beliau berkata, pada mulanya ibu bapanya keberatan untuk melepaskannya berikutan penyakitnya itu bukan sekadar kelihatan pada fizikal tetapi juga mengalami penderitaan dalaman seperti sering sakit perut akibat tindak balas dari tulang belakangnya.

"Saya juga tidak mampu untuk melakukan aktiviti harian secara normal dan pergerakan saya juga perlahan, namun rakan-rakan sentiasa menghulurkan bantuan seperti menghantarkan saya ke kuliah dan sebagainya," katanya.

Seorang lagi graduan Sarjana Pendidikan (Kurikulum dan Pengajaran) Ahmad Zulkahfi Hayat Hussin, 28, yang mengalami kecacatan kedua belah lengannya membuktikan, Orang Kelaian Upaya (OKU) sepertinya juga boleh berjaya.

"Bagi saya, kecacatan anda untuk melihat keupayaan saya, merupakan ketidakupayaan anda sendiri. Saya juga tidak hiraukan tanggapan bahawa OKU tiada masa depan untuk meneruskan kelangsungan hidup.. kalau ikhlas kerana Allah, Insya-Allah akan berlaku sesuatu yang tidak diduga," katanya.

Guru yang berasal dari Terengganu ini, baru sahaja mendirikan rumah tangga dengan Nurul Ain Malik, 28, tiga minggu lalu dan kini mengajar subjek Matematik Tambahan di International Islamic School (IIS) di Kuala Lumpur.

"Selain mengajar sepenuh masa di IIS, saya turut mengajar di pusat tuisyen di luar. Sepanjang mengambil sarjana di sini (UIAM), saya tidak menghadapi masalah besar kecuali pengurusan masa yang agak ketat memaksa saya sentiasa bergegas ke kuliah pada sebelah petang," katanya.

Sejumlah 4,853 pelajar terdiri daripada 47 pelajar peringkat diploma, 3,851 pelajar Ijazah Sarjana Muda, 808 pelajar Sarjana dan 147 pelajar PhD menerima ijazah masing-masing pada majlis Konvokesyen UIAM kali ini yang berlangsung tiga hari.

- Bernama