Seorang peguam kanan salah seorang daripada dua saksi yang memberi keterangan dalam prosiding yang sedang berjalan terhadap peguam terkenal Cecil Abraham.

Cecil didakwa terlibat dalam salah laku dalam mendraf akuan bersumpah (SD) kedua mendiang penyiasat persendirian P Balasubramaniam dalam kes permbunuhan warganegara Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Aduan itu difailkan April lalu, ekoran pendedahan bahawa SD kedua Balasubramaniam yang menarik balik SD pertamanya, bukan dibuat oleh beliau tetapi Cecil dan anaknya Sunil.

Americk Sidhu, peguam Balasubramaniam, yang mendraf SD pertama mendedahkan dalam mesyuarat agung tahunan Badan Peguam Malaysia tahun lalu bahawa timbalan perdana menteri ketika itu Datuk Seri Najib Razak mengarahkan Cecil mendraf SD kedua.

Pendengaran itu dijalankan oleh tiga panel hakim daripada Lembaga Disiplin Peguambela dan Peguam Cara semalam, kata sumber-sumber kepada Malaysiakini .

Pendengaran semalam dibuat selepas ia ditangguhkan pada 23 Ogos lalu apabila seorang anggota panel tidak dapat hadir.

Saksi misteri dijadual memberi keterangan pada pendengaran pada 23 Ogos. Saksi itu dikatakan pernah dihubungi pada mulanya untuk mendraf SD kedua.

Peguam kanan Bastian Vendargon mewakili Badan Peguam dalam prosiding itu. Beliau menggantikan Lambert Rasaratnam yang mewakili badan itu sebelum ini.

Difahamkan pendengaran kes terhadap Cecil dibuat bawah Seksyen 94, Akta Profesion Undang-undang 1976.

Prosiding itu dijalankan secara tertutup dan pihak terlibat, termasuk anggota Badan Peguam masih menutup mulut berhubung isu itu.

[Baca berita asal]