Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Selain masuk ke sempadan negara dengan menaiki kereta, pengangkutan air adalah salah satu jalan alternatif yang menghubungkan antara Malaysia dan Thailand.

Dengan hanya satu ringgit atau sepuluh Baht, mereka yang tinggal di Kelantan boleh memasuki sempadan Selatan Thailand melalui Rantau Panjang, Munduk dan Pengkalan Kubor.

Sampan berenjin itu boleh memuatkan seramai 15 orang dalam satu masa dan perjalanan merentasi dua negara dengan mengambil masa kurang dari lima minit.

Sampan berenjin ini memulakan perjalanan pada jam 6 pagi hingga 9 malam, bergantung kepada permintaan pelanggan.

Daripada Kelantan ke pekan sempadan Golok, penumpang harus mendaftar di pos tentera Thailand untuk mendapatkan “surat perjalanan 24jam” tanpa perlu meninggalkan pasport.

Namun mereka harus pulang semula ke Malaysia dalam sehari.

Terdapat banyak aktiviti yang boleh dilakukan di sana dengan harga yang murah seperti salon, rumah urut, jualan pakaian murah dan makanan enak.

Tidak perlu risau soal pengangkutan kerana teksi motosikal sudah sedia menunggu di jeti yang akan membawa pengunjung mengikut permintaan dengan harga RM3.

Jalan air digunakan setiap hari oleh mereka yang berdagang, mendapat pendidikan harian dan membeli barang keperluan dari Thailand mahupun Malaysia.

Kebergantungan masyarakat sempadan khususnya di Rantau Panjang dan Pekan Golok menyebabkan pengangkutan air masih menjadi pilihan masyarakat di sana.

Malah, matawang Malaysia boleh digunakan di Thailand tanpa perlu menukarnya kepada Baht.

Sementara itu, mereka yang tinggal di sempadan Thailand berkomunikasi dengan menggunakan dialek Kelantan.

Hubungan akrab Malaysia-Thailand juga menyebabkan sebuah jambatan dibuka pada 21 Mei 1973 hasil inisiatif perdana menteri Malaysia ketika itu Tun Abdul Razak dan perdana menteri Siam Thanom Kittikachorn.

Bagaimanapun, masih ramai yang memilih jalan air.

 

 

 

Lihat Komen
ADS