Punca pencemaran Sg S'gor masih disiasat
Lembaga Urus Air Selangor (Luas) masih belum menemui lokasi punca pencemaran di Sungai Selangor yang menyebabkan beberapa loji rawatan air (LRA) dihentikan operasinya, malam tadi.
Pengarahnya Md Khairi Selamat berkata Jawatankuasa Kecemasan Pencemaran Sumber Air Negeri Selangor (JKPSA) yang diurus setia LUAS bergegas ke sungai itu sejurus menerima maklumat dan mengambil sampel kesan minyak di muka sauk sungai untuk dianalisis bagi mengenal pasti kandungannya.
"Ujian bau dan analisis minyak secara insitu juga telah dijalankan setiap jam sehingga kini.
"Siasatan pasukan kecemasan yang dijalankan sehingga awal pagi ini di Sungai Batang Kali, Sungai Rawang, Sungai Garing, Sungai Gong dan Sungai Sembah tidak dapat menemui punca pencemaran.
"Siasatan lanjut akan diteruskan lagi untuk memastikan punca (pencemaran) tersebut," beliau dipetik sebagai berkata dalam kenyataan oleh Bernama hari ini.
Menurut Md Khairi, hasil penurunan kadar kesan minyak yang dianalisis di muka sauk Sungai Selangor membolehkan loji rawatan air terlibat beroperasi semula mulai 5 pagi, lapor agensi berita nasional itu lagi.
Menurut Md Khairi, Luas, Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), Puncak Niaga (M) Sdn Bhd dan Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor sedang bertungkus-lumus menangani perkara itu.
Beliau berkata tindakan sewajarnya akan diambil ke atas pihak bertanggungjawab terhadap pencemaran itu, lapor Bernama lagi.
"Diharap orang ramai dan semua pihak memastikan setiap aktiviti yang dijalankan tidak mencemarkan sumber air bagi mengelak sebarang gangguan bekalan air kepada pengguna," beliau dipetik sebagai berkata.
3 loji tutup
Bernama sebelum ini melaporkan SYABAS menutup tiga loji rawatan utamanya berikut pencemaran pada bendalir hidraulik di sungai.
Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam SYABAS Priscilla Alfred Dharan dalam kenyataan hari ini berkata berkata loji rawatan ditutup sejak 8 malam, semalam dan menjejaskan pengagihan bekalan air di sekitar Lembah Klang dan Shah Alam.
"Akibat kerugian pada pengeluaran malam tadi yang berjumlah 1,350 juta liter sehari (MLD), pemulihan bagi kawasan yang terjejas akan mengambil tempoh beberapa hari.
“Tangki-tangki air akan digerakkan untuk membekalkan air ke kawasan yang terjejas sehingga bekalan air kembali pulih,” beliau dipetik sebagai berkata.

