Setelah digantung keahlian setahun, dua anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS Saari Sungib dan Hasnul Baharuddin masih memikirkan tindakan lanjut masing-masing.

Saari berkata, beliau sekarang tidak dapat mengulas lanjut kerana baru dimaklumkan berhubung tindakan PAS itu.

“Saya tak boleh nak buat apa-apa kenyataan sekarang ini, saya hanya mendapat tahu daripada (aplikasi komunikasi) WhatsApp,” katanya ringkas.

Hasnul juga berkata, beliau sedang memikirkannya walaupun sudah menjangkakan tindakan itu.

“Sekurang-kurangnya dah jangka dah, saya kena fikirkan dulu, saya akan tunggu surat,” katanya ketika dihubungi.

Berkuat kuasa hari ini, Saari dan Hasnul digantung keahlian selama setahun ekoran tindakan menyokong pencalonan Datuk Seri Wan Azizah Ismail sebagai menteri besar sebelum partinya membuat keputusan.

Keputusan itu dibuat setelah dibincangkan dalam mesyuarat Pusat PAS hari ini yang dipengerusikan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Kedua-dua ADUN itu boleh merayu secara bertulis terhadap keputusan itu kepada Majlis Syura dalam tempoh 15 hari.