MB kesal pencemaran walau tindakan tegas
Meskipun telah bertindak tegas, termasuk merampas tanah dan mengambil tindakan undang-undang, kerajaan Selangor kesal kerana pembuangan sisa tercemar ke dalam sungai masih berulang.
Sekretariat Akhbar Pejabat Menteri Besar Selangor dalam kenyataannya berkata, kerajaan telah merampas tanah dan mengambil tindakan undang-undang kepada pihak yang membuang sisa hidrokarbon loji rawatan air (LRA) Sungai Selangor pada Ogos 2013.
Semalam, LRA Sungai Selangor Fasa satu, dua, dan tiga terjejas dan LRA Rantau Panjang terpaksa dihentikan selepas menyedari terdapat kotoran di dalam air.
Akibat pencemaran air yang berlaku, 60 peratus pengguna di kawasan Lembah Klang terjejas.
Lembaga Alam Sekitar (LUAS) dan Jabatan Alam Sekitar Selangor sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca pencemaran tersebut.
Sekretariat akhbar kerajaan negeri juga berkata tindakan tegas akan diambil terhadap pihak bertanggungjawab membuang sisa tersebut.

