Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jari kaki kanak-kanak cedera tersepit eskalator
Diterbitkan:  Oct 13, 2014 7:42 AM
Dikemaskini: Oct 13, 2014 1:48 AM

Seorang kanak-kanak lelaki cedera tiga jari kaki kanannya apabila kasut yang dipakainya tersepit di eskalator di sebuah pusat beli belah terkenal di Melaka semalam.

Ketika kejadian kira-kira jam 12.15 tengah hari, kanak-kanak berusia 10 tahun itu bersama keluarganya sedang menaiki eskalator ke tingkat atas pusat membeli belah itu.

    

Pegawai Bomba Kanan Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu Arshad Mail berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 12.32 tengah hari dan tiba empat minit kemudian bersama sebuah jentera dan unit Perkhidmatan Respons Perubatan Kecemasan (EMRS) dengan lapan anggota.

    

"Sebaik tiba di lokasi, kaki kanak-kanak tersebut telah berjaya dikeluarkan pengawal keselamatan pusat beli-belah berkenaan dan bomba kemudian memberikan rawatan kecemasan awal kepada mangsa," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

    

Beliau berkata siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila kasut jenis kanvas yang dipakai kanak-kanak berkenaan tersepit di tepi eskalator berkenaan sebelum menarik bersama tiga jari kaki kanannya.

    

Katanya kanak-kanak tersebut kemudian dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.

Pekerja dihempap jangkaut

Seorang pekerja tapak binaan maut selepas dihempap pengorek jengkaut ketika menanam tiang konkrit di Kampung Seberang Kuala Jerlun, Ayer Hitam dekat Jitra, Kedah kelmarin.

Mangsa Azemi Senawi, 55, maut di tempat kejadian kira-kira jam 3.30 petang kerana mengalami cedera parah pada bahagian kepala.

    

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Supt Abd Rahim Abdullah berkata ketika kejadian mangsa bersama tiga pekerja lain sedang menanam tiang konkrit dengan menggunakan sebuah jengkaut apabila hos hidraulik jengkaut itu rosakmenyebabkan pengoreknya jatuh menghempap mangsa.

    

"Ketika memacak tiang, ia memerlukan seseorang untuk memegang tiang untuk dimasukan ke dalam lubang manakala jengkaut digunakan untuk menekan tiang masuk ke dalam tanah," katanya.

    

Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.

    

Jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jerlun tengah malam tadi.

    

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS