Polis sah bekas pelajar KUIS terlibat IS
Polis mengesahkan seorang bekas pelajar Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Syamimi Faiqah telah berlepas ke Syria, 4 Oktober lepas dipercayai untuk menyertai kegiatan kumpulan militan Negara Islam (IS).
Bernama melaporkan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman SAC Datuk Ayub Khan Mydin Pitchay berkata Syamimi, 20, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) kira-kira pukul 11.55 malam.
"Berdasarkan maklumat terkini semalam Syamimi kini berada di sempadan Turki-Syria dan kita yakin dia akan seberang masuk kerana sewaktu tiba di Lapangan Terbang Istanbul sudah ada individu yang menunggu untuk membawanya ke Syria melalui jalan darat iaitu di wilayah Hatay.
"Dari sana akan ada sindiket yang akan membawanya melepasi sempadan Turki sehingga sampai ke Syria. Polis percaya Syamimi di 'passing' dan ada individu yang menunggu di checkpoint tertentu," katanya kepada Bernama semalam.
Semalam, sebuah akhbar tempatan melaporkan Syamimi melarikan diri ke Syria untuk berkahwin dengan pejuang IS dikenali sebagai Akel Zainal, yang beliau kenali menerusi laman sosial Facebook.
Akel Zainal difahamkan adalah bekas pemuzik sebuah kumpulan rock terkenal tanah air pada 1990-an dan kini berada di Syria untuk menyertai perang.
Ayub berkata, Akel dipercayai giat menyasarkan gadis dan wanita Melayu khususnya pelajar institusi pengajian tinggi tempatan untuk direkrut ke Syria.
Diberhentikan
"Apa yang membimbangkan: bayangkan hanya melalui Facebook, dia boleh tarik Syamimi tinggalkan keluarga dan mereka boleh atur untuk pergi ke rumah Syamimi untuk bawa ke lapangan terbang," kata Ayub.
Beliau berkata, sejak polis mengesan penglibatan rakyat Malaysia dalam perjuangan militan di negara Syria yang bergolak itu, seramai lima orang telah maut dan enam cedera.
Setakat ini, sebanyak 22 rakyat Malaysia termasuk 3 wanita dikesan berada di Syria menyertai kumpulan militan, manakala 23 individu lagi telah ditahan selepas dipercayai terbabit dengan kumpulan tersebut.
Sementara itu, pejabat timbalan rektor pembangunan mahasiswa dan alumni KUIS mengesahkan Syamimi Faiqah mendaftar program diploma pengajian Islam pengkhususan dalam bidang Al-Quran dan sunnah melalui surat tawaran bertarikh 27 November 2012.
Bagaimanapun, kenyataan pejabat itu hari ini memaklumkan pelajar tersebut telah gagal mencapai gred minimum dalam peperiksaan akhir sesi II 2012/2013.
"Syamimi Faiqah Sulaiman secara rasmi diberhentikan dari KUIS melalui surat Bahagian Pengurusan Akademik, KUIS pada 10 Jun 2013 kerana mencapai CGPA kurang dari 2.00 selaras dengan Peraturan Akademik KUIS (Pindaan 2011) Seksyen 10 paragraf 10.2," kenyataan itu dipetik.
Pejabat itu juga memandang serius penglibatan mahasiswa kolej itu dalam aktiviti yang tidak diiktiraf oleh Islam dan kerajaan dan akan memberhentikan mahasiswa terbabit serta merta jika terlibat dengannya.

