Anggota Parlimen Tumpat Datuk Kamarudin Jaafar berkata Kelantan menjadi bukti kerajaan BN memang mengabaikan mereka yang tidak menyokongnya.
Menurut beliau layanan ini sama seperti ucapan perdana menteri ketika merasmikan Konvensyen MCA semalam yang tidak mahu membantu orang Cina sekiranya tidak menyokong BN.
"Orang Kelantan tidak undi BN maka beliau tidak memberi apa-apa peruntukan kepada Kelantan.
"Jadi ni saya fikir perlu ditegaskan, adalah untuk tidak memberi apa-apa kebajikan kepada rakyat yang tak undi BN, sama ada kaum Cina, sebagaimana beliau sebut di Perhimpunan Aging MCA, atau rakyat lainnya seperti yang dikenakan di Kelantan selama berpuluh-puluh tahun lamanya," katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.
Menurut beliau tiada projek besar dan bermakna yang diberikan perdana menteri kepada penduduk Kelantan kecuali projek naik taraf laluan keret api Gua Musang-Tumpat berjumlah RM150 juta.
Beliau bertanya mengenai tiadanya pengumuman naik taraf lebuh raya dan infrastruktur di Kelantan dalam bajet minggu lalu.
"Beliau (perdana menteri) tak beri apa-apa projek yang bermakna untuk Kelantan.
"Menteri dari Kelantan (Datuk) Mustapha (Mohamad) pernah janjikan naik taraf lapangan terbang Pengkalan Chepa, Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai dan sebagainya," kata beliau.
Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, masyarakat Cina tidak patut menuntut sesuatu daripada kerajaan jika mereka menyokong pembangkang.
Katanya, beliau berniat untuk lebih membantu masyarakat Cina tetapi beliau juga memerlukan sokongan mereka terhadap BN.
