'Kita tahu siapa berhubung dengan IS'
Kerajaan masih belum dapat mengesahkan maklumat penuh mengenai rakyat Malaysia yang terlibat dengan kumpulan militan Negara Islam (IS) di Iraq dan Syria.
Bagaimanapun Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata kerajaan telah pun mempunyai maklumat asas berkenaan jumlah dan keadaan rakyat Malaysia yang menyertai mereka di Syria dan Iraq.
"Kita tidak buat apa-apa hubungan dengan ISIS (nama lain untuk IS), saya ada maklumat-maklumat itu (rakyat Malaysia menyertai ISIS) tapi kita sudah mengenal pasti maklumat-maklumat tersebut.
"Kita ketahui siapa mereka yang berada di sana dan dijangka sudah dianggap terkorban dan luka dan sebagainya, kita mengetahui perkara itu.
"Tetapi kita tidak ada pengesahan rasmi daripada pihak bertelagah di sana. Oleh itu, kita tidak boleh buat pengumuman secara treperinci kepada rakyat Malaysia," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.
Bernama hari ini melaporkan usaha merekrut pelajar Malaysia termasuk gadis dan remaja menyertai kumpulan militan di negara bergolak Syria yang kononnya atas dasar jihad, semakin agresif apabila ia turut dikesan cuba merekrut pelajar sekolah.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman SAC Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay yang mendedahkan perkara itu berkata individu yang giat menjalankan kegiatan itu hanya melalui Facebook menyasarkan golongan ini memandangkan mereka lebih mudah terpedaya.
Wan Junaidi bagaimanapun tidak mahu mengulas isu itu.

