Program khas tangani bakat terpendam wanita
Program baru 1Malaysia Support For Housewives (1MSFHW) yang dikemukakan dalam Belanjawan 2015 antaranya bertujuan menangani bakat terpendam golongan wanita dalam bidang pekerjaan.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib berkata, ia program sangat menarik kepada wanita kerana terdapat kemahiran dan bakat tidak diketengahkan.
Ini kerana, tambahnya, golongan itu lebih memikirkan soal tanggungjawab terhadap keluarga.
Beliau mendedahkan, kementeriannya menyediakan 12 program sebagai langkah untuk menarik kembali wanita dan suri rumah yang sudah tidak bekerja supaya kembali menceburi bidang pekerjaan.
“Wanita mempunyai kemahiran yang cukup tinggi tapi oleh kerana sering memikirkan hal menjaga keluarga adalah lebih baik daripada bekerja.
“Tetapi di pihak kementerian, kita tidak mahu melihat bakat-bakat seperti ini terpendam begitu sahaja jadi kita akan beri pendekatan supaya kita boleh membawa semula mereka untuk bekerja," katanya kepada pemberita di “Seminar Pelaksanaan Gaji Minimum” di ibu negara
Antara program yang disediakan 1MSFHW untuk membantu mereka yang ingin menambah pendapatan melalui program kesedaran, kemahiran, penempatan pekerjaan dan keusahawanan.
NADIA OTHMAN wartawan pelatih di Malaysiakini.

