Ketua Umno Cheras Datuk Syed Ali Alhabshee menegur Pemuda MCA supaya memperbanyakkan program bersifat kenegaraan untuk menjadikan anak muda Cina lebih patriotik daripada bercakap perkara yang sensitif seolah-olah menyuarakan cita-cita ‘Malaysian, Malaysia’ DAP.

Menggesa pergerakan itu berusaha menarik balik sokongan pengundi muda Cina kepada BN, Syed Ali menegaskan ada anak muda Cina hari ini didakwanya menggunakan laman sosial untuk mengutuk pemimpin negara dan agama Islam.

“Bagi saya, Pemuda MCA kena memberikan tumpuan menarik sokongan pengundi muda Cina kepada BN. Pemuda MCA kena perbanyakkan program bersifat ketatanegaraan kepada golongan muda terutamanya agar lebih bersikap patriotik kepada tanahair.

“Pada hari ini, ramai anak muda Cina terutamanya yang menggunakan laman sosial untuk mengutuk institusi perdana menteri, pemimpin kita dan agama Islam menjadi agama rasmi negara ini," katanya dalam blog Umno Cheras hari ini.

Menurutnya lagi, Pemuda MCA perlu berpandangan jauh bagaimana untuk menghayati semangat cintakan negara sambil menegaskan BN melayani sama rata dan adil dalam perkongsian kuasa dengan melibatkan semua kaum.

Beliau menegur Ketua Pemuda MCA Chong Sin Woon yang dalam ucapan di Perhimpunan Agung Pemuda MCA yang berkata kemungkinan formula asas perkongsian kuasa BN perlu diatur semula supaya semangat berkongsi kuasa dapat dilaksanakan.

Syed Ali berkata Pemuda MCA perlu memahami dasar perkongsian kuasa yang diamalkan BN selama ini berjaya meletakkan negara di atas landasan perpaduan yang kukuh sekaligus mengelak mana-mana bangsa tercicir dari menikmati pembangunan negara.

“Melalui perkongsian kuasa ini juga orang Cina berjaya meraih peluang ekonomi tanpa perasaan iri hati dari kaum lain di negara ini.

"Bagi saya, format perkongsian kuasa yang diterjemahkan oleh BN sejak merdeka dan sehingga ke hari ini adalah yang terbaik dan tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak," katanya dipetik.

Dalam tulisan itu juga, Syed Ali juga menyentuh tentang nasihat perdana menteri semalam bahawa masyarakat Cina tidak seharusnya membuat tuntuan kepada kerajaan jika selepas itu mereka menyokong pembangkang.

Syed Ali menyifatkan nasihat Datuk Seri Najib Tun Razak itu sebagai tepat dan kena pada masanya.

Menurut Syed Ali lagi, kerajaan BN bawah pimpinan Najib selama ini tidak pernah meminggirkan kepentingan mana-mana kaum termasuk orang Cina.