DAP bantah Shabery isu indeks akhbar jatuh
DAP membidas kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek bahwa kerajaan Pulau Pinang menyumbang kepada kemerosotan Indeks Kebebasan Akhbar negara (FPI).
MP Seremban Anthony Loke berkata kerajaan persekutuan melakukan pelbagai perkara lebih teruk yang menyumbang kepada ranking FPI yang semakin teruk saban tahun.
Beliau berkata mengikut kriteria FPI yang dikeluarkan Wartawan Tanpa Sempadan (RSF), kerajaan BN membuat pelbagai kesalahan menyumbang kepada kejatuhan indeks itu.
Antaranya mengongkong kebebasan media dengan peraturan dan permit serta menyekat media dari membuat liputan.
"Sudah tentu kriteria ini diketahui kerajaan persekutuan, semua lesen dan peraturan dipegang mereka.
"Kenyataan Shabery tidak bertanggungjawab dan kita bantah dengan keras," katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.
Ahmad Shabeery hari ini berkata Pulau Pinang menyumbang kepada kejatuhan ranking FPI kerana menghalang akhbar Utusan Malaysia membuat liputan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).
Beliau membidas Nga Kor Ming (DAP-Taiping) yang merungut tentang Indeks Kebebasan Akhbar Negara (PFI) yang kurang memuaskan.
Siar gambar wartawan Utusan
Selain Anthony, beberapa MP DAP yang turut hadir dalam sidang media itu, menafikan perkara yang dibangkitkan oleh Ahmad Shabery.
Menurut MP Tanjong Ng Wei Aik, larangan terhadap akhbar Utusan Malaysia itu tidak wujud lagi.
Beliau merupakan orang yang bertanggungjawab merujuk laporan akhbar itu yang tidak tepat kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Pulau Pinang yang membawa kepada larangan membuat liputan pada 2011.
"Ketika itu, saya ADUN Komtar, Utusan bawa laporan salah daripada ADUN lain.
"Bagaimanapun larangan itu terbatal selepas DUN dibubarkan sempena pilihan raya umum tahun lalu," katanya.
Sementara itu, MP Jelutong Jeff Ooi pula berkata DAP mahu menyiarkan gambar wartawan Utusan yang membuat liputan sidang media ketua menteri di Komtar minggu lalu.
Katanya, ia bagi membuktikan tiada sekatan terhadap akhbar milik Umno itu.
"Walaupun tidak menjemput Utusan, Pulau Pinang tak pernah menghalang mereka membuat liputan," katanya.

