Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching hari ini menyatakan kekecewaannya dengan langkah kerajaan yang didakwanya tidak menitikberatkan Bajet 2015 kepada golongan wanita.

Menurut beliau kenaikan peruntukan kepada Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat (KWKPM) walaupun meningkat 2.7 peratus.

Ia katanya rendah berbanding bajet keseluruhan yang meningkat 3.7 peratus.

"Kenaikan peruntukan di bawah purata (lebih rendah daripada kenaikan keseluruhan) dengan sendirinya membuktikan (wanita dipinggirkan)," katanya dalam sidang media di Dewan Rakyat tadi.

Dalam pembentangannya Jumaat lalu, Datuk Seri Najib Abdul Razak mengumumkan KWKPM menerima RM2.26 bilion, jauh ketinggalan dengan Jabatan Perdana Menteri yang menerima RM19.06 bilion.

Menurut Teo, peningkatan itu adalah sebanyak 15.9 peratus berbanding tahun sebelumnya (RM16.45 bilion).

Teo yang juga penolong setiausaha publisiti DAP Kebangsaan itu turut membidas pemotongan besar peruntukan, iaitu sebanyak 60 peratus kepada Institut Pemberdayaan Wanita NAM (NIEW) - daripada RM.4 juta kepada RM 3.2 juta.

Cuti jaga anak kurang

Beliau turut membidas perubahan cuti menjaga anak untuk wanita penjawat awam yang didakwa sengaja dikurangkan.

Menurut beliau, cuti tanpa gaji sebelum ini dihadkan kepada 5 tahun telah ditukar kepada sehingga kanak-kanak tersebut berusia setahun sahaja.

"Ini bermakna tiada lagi pilihan bagi penjawat awam untuk memohon cuti menjaga anak lebih daripada setahun.

"Kenapa perlu ada had umur? Pilihan patut diberi kepada ibu untuk meminta cuti penjagaan anak sekiranya anak mereka memerlukannya dalam tempoh masa itu," kata beliau.