Menteri: GST tak sebabkan inflasi tinggi
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek yakin pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tidak akan menyebabkan inflasi menjadi tinggi.
Kenyataan itu dibuat walaupun laporan ekonomi Kementerian Kewangan menyatakan inflasi mungkin melebihi paras empat peratus pada 2015 berikutan pelaksanaan GST.
Hasan berkata, kerajaan mempunyai pelbagai mekanisme untuk memantau Indeks Harga Pengguna (CPI) bagi memastikan harga di bawah kawalan.
Kerajaan, melalui kementeriannya, mengumpulkan pelbagai statistik setiap bulan bagi menilai CPI.
“Seingat saya, CPI untuk bulan lalu sekitar 3.2 peratus sahaja, mungkin naik atau turun sedikit, tetapi saya yakin ia tidak membawa ke arah inflasi pada masa depan, dengan sebahagian barangan dikecualikan daripada cukai dan sebagainya,” katanya.
Hasan juga berkata, kerajaan mempunyai mekanisme untuk memantau kenaikan CPI bagi memastikan segalanya terkawal.
“Kita akan ambil tindakan untuk kawal harga,” kata Hasan.

