Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau bukan sahaja telah memberi keterangan, malah telah menyerahkan dua hari lalu semua bukti ucapan yang didakwa menghasut.

"Betul dan saya telah kemukakan bukan saja audio tapi juga visual dan transkrip ucapan saya kepada pihak polis," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Dengan nada gembira Zahid yang juga ahli Parlimen Bagan Datoh berkata beliau memberi kepercayaan penuh kepada polis untuk menyiasat beliau sebagai seorang menteri.

"Saya serahkan kepada pihak polis untuk lakukan siasatan kepada menteri yang jaga polis," katanya lagi.

Pagi tadi Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan polis telah merakam kenyataan Zahid tetapi tidak mahu mengulas lanjut kes tersebut.

Sebelum ini DAP Perak membuat laporan polis terhadap Zahid kerana didakwa membuat kenyataan berunsur hasutan dalam ucapannya berkaitan demonstrasi dekat Kuala Kangsar semasa krisis perlembagaan Perak, ketika kempen pilihan raya kecil DUN Pengkalan Kubor.

Dalam ceramahnya ketika pilihan raya kecil itu, naib presiden Umno itu mendakwa penyokong DAP membaling batu kepada kereta Raja Muda Perak dan kereta beliau ketika krisis Perak pada 2009.