Kumpulan masyarakat sivil bersetuju dengan cadangan menambah elaun pembantu penyelidik kepada anggota Parlimen (MP) bagi menambah kualiti mereka.

Pengerusi BERSIH 2.0 Maria Chin Abdullah berkata seorang MP memerlukan pembantu penyelidik yang boleh membantu mereka mendapatkan data dan maklumat tepat sesuatu perkara.

"Sekarang MP perlu menggunakan wang sendiri untuk menggajikan pembantu penyelidik mereka.

“Di Parlimen hanya ada kira-kira 10 pembantu penyelidik untuk membantu dalam penyelidikan dan data mereka," kata beliau dalam sidang media selepas pertemuan masyarakat sivil dan MP di Parlimen hari ini.

Minggu lalu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim mendedahkan pembangkang pernah mencadangkan mereka diberi elaun untik menggajikan pembantu dan pegawai penyelidik untuk mereka.

Masyarakat sivil percaya penyelidikan ini membantu MP menjadi lebih berkualiti dan berkesan dalam mewakili rakyat di Parlimen.

Sementara itu Pengerusi Engage Thomas Fann berkata masyarakat sivil turut menilai untuk melancarkan "Parlimen Watch" untuk memantau prestasi MP di Dewan Rakyat.

Beliau menegaskan hal ini penting kerana mereka dipilih untuk mewakili rakyat dalam pelbagai perkara.

"Saya lihat dalam perbahasan hanya ada kira-kira 20 peratus MP yang hadir. Ke mana mereka pergi?" kata beliau.

Pertemuan ini hari ini diselenggara oleh BERSIH 2.0 dan dihadiri 18 MP Pakatan Rakyat.

Antara NGO terlibat ialah BERES, Tindak Malasyia, Engage, Groham, GMM, Ideas dan Empower.

Ia turut disertai oleh Majlis Peguam Malaysia.