Perbincangan meja bulat oleh Renaissance Front Islam (IRF) Sabtu ini akan diteruskan walaupun tanpa penceramah utama Ulil Abshar Abdalla yang dilarang masuk ke negara ini.

Ia sebaliknya akan menampilkan profesor sosiologi Universiti Nasional Singapura Syed Farid al-Attas, yang akan membentangkan kertas kerja bertajuk 'Ancaman Fundamentalisme pada abad ini'.

Ia kini akan diadakan di bangunan Universiti Nottingham di Jalan Raja Chulan.

Ulil Abshar dilarang memasuki Malaysia ekoran bantahan Persatuan Ulama Malaysia, yang mengatakan pandangan cendekiawan itu boleh "mengelirukan" orang Islam di sini.

Ekoran itu, Jabatan Pembangunan Islam Malaysia (Jakim) menggesa Kementerian Dalam Negeri melarang Ulil masuk ke negara ini.

Sementara itu, Ulil Abshar membidas Duta Malaysia ke Indonesia Zahrain Hashim kerana mendakwa beliau dilarang masuk ke Malaysia bagi menghalangnya menyebarkan ajaran Ahmadiyah.

Menurut Ulil, beliau bukan ahli Ahmadiyah.

Menulis di Facebooknya, Ulil berkata beliau adalah ahli Nahdlatul Ulama dan mengikut Gus Dur.

Nahdlatul Ulama adalah kumpulan Sunni di Indonesia, manakala Ahmadiyah adalah gerakan berdasarkan ajaran ulama abad ke-19 Mirza Ghulam Ahmad.

Ahmadiyah dianggap sebagai kumpulan sesat oleh kebanyakan pihak berkuasa Islam.

[Baca berita asal]