Majlis Perundingan Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) menyuarakan rasa meluat pada reaksi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri berhubung ancaman untuk membakar naskhah Bible.

Menurut MCCBHCHST, reaksi berkenaan seolah-olah “memberi lesen” pada individu lain untuk mengulangi ancaman seperti itu “demi mempertahankan Islam”.

“Seruan untuk membakar Bible agama lain jelas sekali merupakan tindakan jenayah dan bertentangan dengan perlembagaan dan undang-undang kita.

“Sekiranya ini dibenarkan, makan kita tidak ada beza dengan ISIL yang melakukan pelbagai perbuatan jenayah dan penyembelihan, atas nama Islam,” kenyataan MCCBCHST dipetik.

Gabungan berkenaan merujuk kepada kumpulan militan timur tengah, Islamic State Iraq and the Levant, yang kini dikenali dengan nama Islamic State (IS).

MCCBCHST berkata penjelasan Nancy bahawa ancaman presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali hanya untuk mempertahankan Islam juga “jelik, tidak dapat dipertahankan dan dahsyat”.

Tambahnya, sebagai menteri yang bertanggungjawab ke atas undang-undang, Nancy sepatutnya tahu bahawa “niat” Ibrahim itu tidak penting mengikut Akta Hasutan.

“Dalam negara berbilang kaum, apa-apa seruan untuk membakar kitab suci agama lain seharusnya dianggap melampaui batas," tambahnya.

Jika Ibrahim tidak didakwa, katanya, kerajaan tiada hak moral untuk mendakwa pihak lain yang membuat kenyataan yang sekadar dipertikai atau bersifat kontroversi.

Sementara itu, Nancy dalam satu wawancara dengan CapitalTV menyebut, jawapannya di parlimen itu adalah berhubung laporan siasatan oleh polis ke atas ancaman yang didakwa dituturkan oleh Ibrahim.

Katanya. berdasarkan siasatan polis, satu pihak didakwa mengedar bible dalam bentuk CD di satu sekolah dengan pelajar Islam dan bukan Islam.

Katanya, beliau tidak tahu bagaimana Ibrahim mengetahui perkara itu.

Namun, katanya, siasatan menunjukkan bahawa Ibrahim menyatakan sekiranya orang berkenaan memberi Bible kepada orang Melayu dan kanak-kanak Islam, maka bakar Bible tersebut.

[Baca berita penuh/asal]