Dialog: Kehadiran Adam Adli tarik perhatian Khairy
Kehadiran aktivis Adam Adli Abdul Halim menarik perhatian di dialog anjuran akademik naungan Pemuda Umno malam tadi, termasuk Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.
Dialog Evolusi Politik Anak Muda Malaysia anjuran Akademi Kepimpinan Kapten Hussein (AKHI) yang berlangsung di Kelana Jaya.
Khairy yang merupakan panelis di dialog tersebut secara berseloroh berkata beliau mahu memberi borang keahlian Umno kepada aktivis tersebut.
“Mungkin saudara-saudara tidak perasan, tapi saya perasan, (Adam) dah keluar dewan dah tadi.
“Adam Adli (kanan), ada tadi tapi dia balik dah dan saya tak sempat bagi borang ahli Umno pada dia” kata Khairy berseloroh sambil menerima tepukan daripada kira-kira 300 hadirin.
Pada yang sama, kedengaran antara peserta yang melaung nama Adam.
Bagaimanapun, ketika itu Adam sudah meninggal majlis dialog tersebut.
Menurut Khairy, beliau dimaklumkan oleh seorang pegawainya tentang kehadiran Adam di forum itu.
"Saya kata biarlah dia nak datang," tambah Khairy.
Khairy juga turut tertanya-tanya sekiranya kehadiran Adam pada progam anjuran Umno itu bertujuan untuk bertanyakan tentang akta hasutan yang dikenakan terhadap Adam.
Dalam ucapannya itu, Khairy turut memberitahu bahawa AKHI bukan akademi untuk melahirkan pemimpin radikal seperti aktivis tersebut.
"Kita tidak mahu pemimpin radikal seperti Adam Adli," kata ahli parlimen Rembau itu disambut tepukan gemuruh hadirin.
Bulan lalu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan ke Adam Adli setelah didapati bersalah atas tuduhan hasutan.
Mahkamah juga membenarkan penangguhan hukuman itu dan mengekalkan jaminan sebanyak RM5,000.

