IAEA: Sisa radioaktif loji Lynas di tahap rendah
Pakar Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) memutuskan bahawa kilang pemprosesan nadir bumi Lynas dekat Kuantan, mengeluarkan paras sisa radioaktif yang sangat rendah.
Keputusan itu dibuat oleh pasukan pakar IAEA selepas misi pemeriksaan susulan bebas bagi mengkaji semula keselamatan radiasi di kemudahan pemprosesan nadir bumi tersebut.
"Risiko radiologi kilang Lynas sangat rendah berikutan paras radioaktif yang rendah," kata ketua pasukan dan pengarah Bahagian Kitaran Bahan Api Nuklear dan Teknologi Sisa, Jabatan Tenaga Nuklear IAEA, Juan Carlos Lentijo, dalam satu kenyataan.
Beliau berkata dalam pemantauan awal, misi susulan itu mendapati kilang terbabit sudah melaksanakan 11 cadangan yang dikemukakan oleh agensi antarabangsa berkenaan semasa misi kajian dibuat pada 2011.
"Malaysia aktif mengemas kini peraturan, selari dengan kebanyakan standard keselamatan IAEA terkini," katanya.
Nadir bumi merupakan elemen yang digunakan dalam kebanyakan aplikasi berteknologi tinggi, daripada telefon mudah alih sehingga turbin angin.
Memandangkan bijih yang dihasilkan itu turut mengandungi bahan radioaktif semula jadi seperti torium atau uranium, proses itu mengeluarkan sisa radioaktif pada paras yang sangat rendah, yang mesti diurus dengan baik.
- Bernama

