Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kumpulan aktivis penerbitan independen menggamit golongan anak muda untuk hadir ke program KL Zine Fest, yang akan berlangsung esok, serentak dengan pesta buku Kolumpo Kita Punya!

Seorang sukarelawan KL Zine Fest, Ahmad Nizamuddin berkata, acara di Dataran Underground, Dataran Merdeka itu memberi peluang luar biasa kerana bakal menghimpunkan 20 penerbit buku independen dan 22 penerbit zine.

“Zine ini bukan mudah didapati di kedai. Jarang (sekali) penerbit zine dikumpulkan (untuk) memasarkan karya mereka," kata pensyarah tersebut ketika dihubungi Malaysiakini .

Beliau menjelaskan, zine merupakan penerbitan berkala dan tidak berkala yang diusahakan secara amatur oleh para penggiatnya dengan tulisan, rekaletak dan cetakan secara kendiri.

Kandungannya pula banyak menyentuh isu politik, muzik, sastera dan juga karya komik.

Antara penerbit zine yang bakal menjadi tumpuan dalam KL Zine Fest esok ialah Norifumi, Psychotic Art Zine, Mosh, Geng Gelabah, 321 Go Create dan Serak-Serak, kata Nizamuddin.

Acara berkenaan juga memberi peluang kepada pengunjung untuk berinteraksi secara langsung dengan para penulis independen, termasuk dua penulis yang mencetus kontroversi melalui karya mereka baru-baru ini.

Melati Rahim yang menarik perhatian melalui karya 'Pelacur Kelas Pertama' serta Raja Azmi Raja Sulaiman, penulis novel 'Karkuma' dijangka akan muncul untuk mempromosi karya mereka esok.

Antara barisan penerbit indie yang akan turut menjual karya mereka secara langsung di acara tersebut ialah Buku Fixi, Merpati Jingga, Dubook Press dan Terfaktab.

Pada masa sama, pentas utama acara tersebut akan menampilkan persembahan oleh kumpulan pujaan anak muda termasuk Ana Rafalli, The Venopian Solitude, Iqbal M, Primary dan Fazleena & The Lasykar.

Di satu lagi pentas, beberapa lagi kumpulan independen termasuk The Mindless Show, Orkes Rakyat Tertindas, Jabatan Audio dan bacaan puisi dari Saudara Petak Daud akan turut menghiburkan hadirin.

Kolumpo Kita Punya merupakan edisi acara Kuala Lumpur Writers and Readers Festival yang bermula sejak beberapa tahun lalu.

Acara berkenaan akan bermula seawal jam 10 pagi sehingga 10 malam.

Maklumat lanjut program ini boleh diikuti melalui sebaran di laman sosial www.facebook.com/kolumpokitapunya , www.facebook.com/KlZineFest , dan juga laman web kualalumpurzinefest.blogspot.com .


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS