Penyelaras Suaram Pulau Pinang Ong Jing Cheng, yang dikasari sekumpulan pemuda di Sudut Pidato Ahad lalu, telah menyerahkan kepada pihak polis, bukti tentang pelaku yang mencetuskan kekecohan tersebut.

Ia didakwa berlaku ketika perhimpunan anti-Akta Hasutan 1948 anjuran Suaram itu, yang diganggu sekumpulan lelaki yang menyokong undang-undang itu, dengan bertempik meminta mereka meninggalkan tempat itu.

Ong berkata beliau telah mengemukakan bukti - foto dan klip video - kejadian itu kepada polis ketika membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di Jalan Pattani malam tadi.

Bagaimanapun, Ong tidak mahu mendedahkan nama dan organisasi pelaku, sambil menambah ini juga akan diserahkan kepada pihak polis.

Menurutnya, bukti-bukti menunjukkan bahawa anggota polis juga telah ditolak dalam insiden itu.

Beliau meminta polis menyiasatnya dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pelaku berkenaan.

Ong (kanan) berkata demikian dalam sidang akhbar di Komtar hari ini, yang diadakan bersama kerajaan Pulau Pinang dan Gerakan Mansuhkan Akta Hasutan yang juga dikenali dengan Ghah.

[Baca berita penuh/asal]