MP Cheras Tan Kok Wai mendakwa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjual beberapa kawasan tanah yang diiklankan sebagai “tender terbuka” kepada pihak tertentu secara terus.
"Ada projek DBKL tertentu yang diiklan sebagai tender terbuka, dijual kepada beberapa pihak tertentu sejak dua hingga tiga tahun lalu tanpa tender terbuka.
"Mereka sudahpun menyelesaikan urusan itu dan menyifatkannya sebagai 'rundingan terus',” kata Tan selepas satu taklimat deraf bajet DBKL di Menara DBKL hari ini.
Menurut Tan, jualan itu melibatkan satu kawasan bernilai tinggi yang ditandakan sebagai tapak untuk ibu pejabat baru DBKL.
“Adakah DBKL sangat miskin, atau sangat kekurangan dana? Atau ada orang membuat untung besar daripada jualan tanah?,” soalnya.
Tan turut bercadang untuk membangkitkan isu tersebut di parlimen dalam persidangan seterusnya pada 27 Oktober.
Katanya, soalan itu akan diajukan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan juga menteri wilayah persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor.
Beliau mendakwa tanah yang dijual itu bernilai berbilion ringgit.
