PM setuju kaji semula isu kontrak l'raya Pan Borneo
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata isu siapa yang akan diberikan kontrak pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo telah di bawa ke perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat kabinet negeri mengenai sama ada kontraktor tempatan akan mendapat manfaat daripada projek berkenaan.
"Saya telah berbincang dengan Perdana Menteri mengenai perkara itu dan beliau telah bersetuju untuk melakukan kajian semula.
"Kami menghargai dan memahami kebimbangan pihak yang mahu melihat kontraktor tempatan mendapat manfaat daripada projek ini," katanya ketika menjawab soalan pemberita mengenai isu itu di Sandakan hari ini.
Semasa persidangan parlimen baru-baru ini, Anggota Parlimen Kalabakan Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh telah menggesa kerajaan supaya memberikan projek itu kepada kontraktor tempatan Sabah daripada syarikat besar dari luar negeri itu.
- Bernama

